Anwar arah Kuskop perbanyak program berkait komuniti India

Anwar arah Kuskop perbanyak program berkait komuniti India

Timbalan Menteri R Ramanan dipertanggungjawabkan untuk memastikan peruntukan dalam Belanjawan 2025 untuk komuniti itu capai matlamat.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim arah Kuskop perbanyak program berkaitan komuniti India dalam pertemuan bersama Mitra dan beberapa Ahli Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), untuk menyelaras dan memperbanyak program berkaitan komuniti India.

Bagi tujuan itu, Timbalan Menteri R Ramanan dipertanggungjawabkan untuk menyelia bagi memastikan antara lain peruntukan dalam Belanjawan 2025 untuk komuniti itu mencapai matlamat.

Perkara itu diputuskan dalam pertemuan bersama pengurusan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dan beberapa Ahli Parlimen yang mewakili masyarakat India, bagi membincangkan pandangan untuk terus memperkasakan komuniti itu.

“Saya tegaskan pendirian kerajaan untuk terus memperhebat inisiatif bagi memberdayakan komuniti India, khususnya menerusi Mitra.

“Ini termasuklah menerusi peruntukan yang saya umumkan dalam Belanjawan 2025 untuk melaksanakan pelbagai program, termasuk pembiayaan perniagaan komuniti India,” katanya di Facebook.

Beliau berkata dengan iltizam kerajaan serta sokongan semua pihak khususnya daripada pimpinan masyarakat India, ia diharap akan terus memperkukuh Mitra dan merealisasikan hasrat memartabatkan masyarakat India.

Menerusi Belanjawan 2025, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM130 juta untuk melaksanakan pelbagai program, termasuk pembiayaan perniagaan komuniti India.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.