Wan Fayhsal rayu dibenar duduk di galeri awam

Wan Fayhsal rayu dibenar duduk di galeri awam

Ahli Parlimen Machang berkata tidak wajar beliau dihalang untuk berada sekurang-kurangnya di galeri awam ketika persidangan Dewan Rakyat.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul tidak membenarkannya berada di galeri awam seolah-olah merendahkan statusnya sebagai Ahli Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meminta Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mempertimbangkan semula keputusan tidak membenarkan Ahli Parlimen digantung berada di Dewan termasuk galeri awam sepanjang persidangan berlangsung.

Ahli Parlimen Machang yang kecewa dengan keputusan Johari berkata tidak wajar beliau dihalang untuk berada sekurang-kurangnya di galeri awam.

“Bagi saya, (keputusan) hari ini mengecewakan dan tidak lengkap.

“Saya tidak faham pandangan dan hujah speaker Dewan Rakyat. Di mana relevan pemerhati menimbulkan masalah kepada majlis (persidangan Dewan Rakyat),” katanya pada sidang media di Parlimen.

Terdahulu, Johari memutuskan Ahli Parlimen digantung tidak boleh berada di Dewan termasuk galeri awam sepanjang persidangan berlangsung.

Johari menegaskan wakil rakyat terbabit hanya boleh mengikuti persidangan di luar Dewan berdasarkan arahan berkuat kuasa 15 Okt lalu itu.

Pada 21 Okt lalu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan meminta Wan Fayhsal yang digantung enam bulan dibenarkan duduk di galeri awam Dewan Rakyat.

Sementara itu, Wan Fayhsal berkata jika keputusan tersebut kekal, beliau merasakan statusnya sebagai Ahli Parlimen telah direndahkan berbanding orang awam yang dibenarkan berada di galeri awam.

Sebelum ini, Johari dalam suratnya memberitahu Wan Fayhsal tidak dibenarkan berada di galeri awam atau bilik pegawai kerajaan bertugas di Dewan Rakyat.

Wan Fayhsal digantung menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 18 Julai lalu susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.