Kerajaan gubal akta baharu berkaitan pekerja gig

Kerajaan gubal akta baharu berkaitan pekerja gig

Kesuma akan membentangkan RUU itu pada sidang Dewan Rakyat semasa, setelah selesai sesi perbahasan Belanjawan 2025, kata Zahid Hamidi.

rider hailing
Langkah penggubalan akta baharu khusus tentang pekerja gig ialah mesej jelas bahawa kerajaan membela 1.16 juta pekerja sektor itu di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Satu akta baharu berkaitan pekerja gig akan digubal dalam usaha melindungi kebajikan mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pembentangan rang undang-undang (RUU) itu akan dibuat Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung, setelah selesai sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025.

“Antara elemen terkandung dalam akta ini ialah jaringan keselamatan dalam kalangan pekerja gig dan perlindungan bukan hanya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tapi juga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), selain kos rawatan perubatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Konvensyen Ekonomi Gig Malaysia Madani hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, langkah penggubalan undang-undang itu adalah satu mesej jelas bahawa kerajaan membela 1.16 juta pekerja sektor itu di seluruh negara.

Perkara itu sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara terawal menggubal perundangan khusus membabitkan pekerja sektor itu, tambahnya.

Zahid berkata, walaupun elemen seperti kos rawatan perubatan yang dicadang dimasukkan dalam akta itu mungkin memberi implikasi kewangan, namun ia diperlukan bagi menjaga kebajikan pekerja.

“Kita akan membincangkan perkara ini secara terperinci dengan Kementerian Kewangan, Kesuma serta Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig Malaysia, yang akan memberikan input setelah perundingan dilakukan mengikut konsultasi dengan pihak universiti terutamanya Universiti Malaya (UM).

“UM telah memberikan khidmat pandangan termasuk dari segi perundangan kepada sekretariat ini dan Kesuma,” katanya.

Ditanya perbezaan akta baharu ini dengan akta kerja yang lain, Zahid berkata, akta lain sedia ada tidak menyebut dengan khusus berkaitan perkembangan terbaru dalam sektor ekonomi gig.

“Jemaah Menteri telah memutuskan atas cadangan menteri sumber manusia bahawa harus ada satu akta khusus, agar pemakaian akta ini tidak akan mengenepikan akta sedia ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig Malaysia turut mencadangkan perlindungan Perkeso turut meliputi luar waktu bekerja bagi golongan ini.

Konvensyen Ekonomi Gig Malaysia yang dianjurkan Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig Malaysia, dihadiri kira-kira 600 peserta dalam kalangan penggiat ekonomi gig, pengusaha platform, penggubal dasar, wakil kerajaan dan sektor korporat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.