
“Ini bukan persoalan terima sebarang permohonan maaf. Tanpa atau dengan meminta maaf, jenayah adalah jenayah.
“Beliau telah disabit bersalah dan sabitan itu sudah tentu dikenakan mahkamah. Beliau telah didapati bersalah. Ia kekal menjadi fakta. Jadi, bagi saya permohonan maaf itu tidak memberi sebarang makna,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri satu acara di sini.
Loke, yang juga menteri pengangkutan menekankan sekali lagi cadangan rang undang-undang tahanan rumah yang akan dikemukakan kerajaan tiada kena mengena dengan Najib, sebaliknya ia dilakukan bagi pembaharuan penjara.
Beliau berkata, jika cadangan undang-undang tersebut diluluskan, ia tidak terpakai kepada pesalah disabit dalam jenayah “serius”.
“Ada ambang tertentu supaya (pesalah) bagi jenayah tertentu tidak boleh diletakkan bawah tahanan rumah. Pastinya, bagi jenayah yang mana serius, mereka tidak akan dibenar bagi tahanan rumah.
“Setakat hal melibatkan Najib, beliau masih berdepan beberapa lagi pertuduhan,” katanya.
Minggu lalu, Najib mengemukakan permohonan maaf terbuka kepada rakyat dan mengakui terluka dengan kecurangan berlaku dalam syarikat 1MDB, yang membawa kepada pemenjaraan melibatkan kes SRC International.
Katanya, beliau mengaku amat terluka setelah mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada bawah pengawasannya.
Beliau kekal mengulangi pendirian tidak bersalah, dan menafikan menjadi dalang atau bersubahat dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau lebih dikenali Jho Low, dalam skim berkenaan.
Najib ketika ini menjalani hukuman dipendekkan selama enam tahun susulan keputusan Lembaga Pengampunan, selepas disabit bersalah menyeleweng RM42 juta dana terkait SRC.
Rabu ini, Mahkamah Tinggi akan memutuskan sama ada beliau akan diminta membela diri dalam kes rasuah 1MDB, yang mana kes itu telah berlangsung selama lima tahun.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima baik permohonan maaf Najib.
Semalam, beliau mempertahankan kenyataan ringkas dibuatnya itu, sambil menyatakan “orang buat kenyataan yang baik, kita sambut dengan baik. Itu contoh pimpinan yang baik”.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PKR Perak, semalam.