
Keputusan setakat ini dikeluarkan pusat penjumlahan undi Pemuda, menunjukkan Zahin memperoleh 2,432 undi, hanya perbezaan 76 undi mengatasi Hilman, meraih 2,356 undi.
“Keputusan rasmi tertakluk kepada pengumuman oleh jawatankuasa pemilihan parti tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.
Awal bulan ini, FMT melaporkan seorang pimpinan Pemuda menyuarakan kebimbangan hubungan sayap Bersatu itu dengan PAS mungkin retak jika Hilman – dipercayai dalam kem Ketua Bersatu Selangor Azmin Ali – menang pemilihan.
Pemimpin berkenaan merujuk situasi pada PRK Kuala Kubu Baharu dan Mahkota diketuai Azmin yang mana didakwanya Pemuda PAS tidak begitu agresif membantu kerana kurang berkenaan dengan ‘kem’ itu.
Katanya, ramai bimbang jika Pemuda PAS boikot secara halus jentera Pemuda Perikatan Nasional terutama di kawasan kerusi ditandingi Bersatu pada PRU16.
Ketua Pemuda Bersatu disandang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang tidak mempertahankan jawatan itu disebabkan had usia. Beliau menyasarkan kedudukan menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi.
Pemilihan parti pada November menyaksikan Muhyiddin Yassin mengekalkan jawatan presiden tanpa dicabar.
Hamzah Zainudin, yang juga setiausaha agung, tidak berdepan saingan bagi pemilihan timbalan presiden. Beliau menggantikan Ahmad Faizal Azumu, yang bertanding naib presiden.
Faizal berdepan saingan daripada penyandang Radzi Jidin dan Ronald Kiandee, selain Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin.
Azmin tidak bertanding sebarang kerusi tertinggi dengan spekulasi mendakwa beliau akan menggantikan Hamzah sebagai setiausaha agung baharu.