Sekolah anak autistik pertama akan dibina di Pulai

Sekolah anak autistik pertama akan dibina di Pulai

Sekolah itu pastinya jadi 'hadiah' terbaik agar anak-anak istimewa tidak cicir pembelajaran dan pengurusan kendiri.

Sekolah aliran perdana menumpukan kepada anak autisme memang dinantikan ibu bapa.
JOHOR BAHRU:
Sekolah pendidikan khas yang memberikan tumpuan sepenuhnya kepada murid autistik dirancang dibina di mukim Pulai.

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin, berkata cadangan berhubung pembinaan sekolah bagi anak-anak autistik pernah disuarakan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada akhir tahun lalu.

Justeru, beliau berkata pengumuman pembinaan sekolah itu pastinya menjadi ‘hadiah’ terbaik kepada ibu bapa khususnya di Johor, yang mengharapkan anak-anak istimewa tidak tercicir dari aspek pembelajaran dan pengurusan kendiri.

“Segala perancangan terperinci mengenai sekolah ini akan dimaklumkan pihak Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025, mengumumkan pembinaan dua sekolah baharu murid berkeperluan khas di Tuaran, Sabah dan Johor Bahru, Johor melibatkan kos RM300 juta.

Sekolah di Johor Bahru bakal menjadi sekolah pertama yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan untuk autistik.

Sementara itu, Pengarah Klinikal IndeBrain Occupational Therapy Solutions, sebuah pusat terapi anak-anak istimewa, Siti Noraisikin Mohd Jazuli berkata pembinaan sekolah berkenaan amat diperlukan memandangkan peningkatan jumlah kanak-kanak autistik di negara ini.

Beliau berkata, mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah kanak-kanak autistik menunjukkan peningkatan drastik dalam tempoh 10 tahun terakhir dengan tahun lalu sahaja merekodkan 53,323 didiagnosis menghidap autisme.

Siti Noraisikin berkata, antara kerisauan utama ibu bapa adalah kekurangan kemudahan untuk anak-anak istimewa mendapatkan pendidikan di sekolah terutama dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

“Di Malaysia terdapat pusat perkembangan awal bagi memenuhi keperluan anak istimewa ini terutama anak-anak autistik, namun isu utama selalunya adalah melibatkan kewangan kerana kos bagi menghantar anak-anak ke pusat perkembangan swasta agak tinggi, berbanding menghantar ke sekolah aliran perdana.

“Oleh itu, kami menyambut baik pengumuman menerusi Belanjawan 2025 ini dalam menyediakan kemudahan dan memberi keutamaan kepada anak berkeperluan khas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.