
Istilah itu dicipta ahli akademik dan falsafah, Syed Hussein Alatas, untuk profesor ‘tidak mempunyai ilmu pengetahuan’ dan mereka yang tidak layak digelar sebagai pemikir serta cendekiawan.

Timbalan Pengerusi Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), Zaharom Nain, berkata pihaknya telah mencadangkannya ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0 pada 2018 namun mereka difahamkan tidak dipersetujui perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, perkara itu sekali lagi dibangkitkan dengan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir bagi membebaskan aktiviti akademia secara bebas tanpa dibelenggu sekatan perkhidmatan awam selain peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti.
Jelasnya, dua akta terbabit dilihat mengongkong dan perlu dihapuskan bagi membebaskan universiti universiti, ahli akademik dan pelajar supaya mereka dapat mencari ilmu berdasarkan pemikiran kritis serta bukti.
“Pilih ahli akademik baik dan berwibawa untuk bekerja dalam universiti bukan ‘profesor kangkung’, pemilihan seharusnya berdasarkan kepakaran dan bukan berdasarkan warna kulit, kumpulan etnik, latar belakang gender dan lain-lain faktor mengarut.
“Muncul dan berkembangnya golongan ‘profesor kangkung’ ini kerana budaya dominan universiti awam tempatan adalah budaya feudal, di mana ramai yang membodek dihadiahkan dengan peluang kenaikan pangkat secara senangnya,” katanya kepada FMT.
“Apabila ramai yang tidak berbakat, banyaklah mereka merapu tanpa memikir. Meskipun ada Akta 605 pun tidak menghalang mereka ini daripada menyediakan hujah-hujah ‘bodoh’,” katanya.
Selasa lalu, Zambry di Dewan Rakyat berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melihat semula untuk mengecualikan universiti awam daripada Akta 605 bagi memastikan kebebasan bersuara dalam kalangan ahli akademik sekali gus menggembleng pemikiran untuk kemajuan negara.
Ini berikutan isu surat pekeliling dikeluarkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada seluruh warga akademik dan petugas berhubung arahan supaya pegawai awam tidak boleh mengeluarkan kenyataan awam termasuk di media sosial.
Bagaimana menerusi satu kenyataan pada 18 Okt, UKM menafikan pihaknya menghalang kebebasan mana-mana warga akademik dan petugas untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.

Sementara itu, Felo kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Teo Kok Seong berkata tiada keperluan untuk mengawal dari segi akta semata-mata untuk membanteras masalah ahli akademik mengeluarkan kenyataan tidak mengikut fakta.
“Itu hanya kes terpencil. Mungkin satu atau dua kes sahaja.
“Boleh kawal tapi mungkin ahli akademik terbabit dipanggil pihak universiti untuk berbincang dan diberi amaran atau menerusi bahagian integriti akademik KPT mengikut keberatan kes,” katanya.
Tambahnya, perdebatan dan semakan fakta harus dilakukan bagi mengelakkan tersalah menghukum ahli akademik berkenaan.
“Mungkin bagi dia ada fakta, maka boleh menguji dapatan yang dibuatnya sama ada sama atau sebaliknya. Jika kajian orang lain mendapat hasil dapatan lain maknanya ahli akademik itu salah,” katanya.