
Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata kedua-dua lelaki tempatan berusia 35 dan 51 tahun itu ditahan pada 15 Okt di sekitar daerah berkenaan.
Beliau berkata laporan polis berhubung kejadian berkenaan dibuat oleh pemilik gerai berkenaan berusia 18 tahun pada 7.30 malam, 11 Okt.
Katanya menurut laporan berkenaan, pemilik gerai itu melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan dan mendapati terdapat dua individu yang tidak dapat dikenal pasti memakai baju berwarna hitam serta helmet hitam dan merah masuk ke dalam kedainya.
“Mereka kemudiannya meletakkan daging kepala khinzir di atas kabinet dan dapur roti canai milik pengadu,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, video kejadian berkenaan kemudian juga tular di media sosial sejak semalam.
Naazron berkata motif kejadian berkenaan masih dalam siasatan.
Individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut boleh menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Ahmad Faizal Hasan di talian 019-7691924 bagi membantu siasatan.