2 lelaki serang peguam di P Pinang diburu polis

2 lelaki serang peguam di P Pinang diburu polis

Polis berkata siasatan mendapati mereka diupah seseorang untuk menyerang mangsa dengan menggunakan besi.

Lee Swee Sake
Menurut Pemangku Ketua Polis Timur Laut Lee Swee Sake, kejadian dipercayai bukan bermotifkan samun dan suspek didapati menggunakan kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai menyerang seorang peguam sehingga cedera dalam kejadian di hadapan sebuah kedai kopi di Persiaran Karpal Singh 2 di sini pada Selasa lepas.

Pemangku Ketua Polis Timur Laut , Lee Swee Sake, berkata serangan yang berlaku kira-kira 9.50 pagi itu menyebabkan mangsa seorang lelaki warga tempatan dan berusia 37 tahun menerima tujuh jahitan di kepala.

“Polis kini giat memburu dua lelaki tempatan dan berdasarkan siasatan, mereka diupah oleh seseorang atau “mastermind” untuk menyerang peguam itu dengan menggunakan besi.

“Dua lelaki itu menaiki sebuah kereta semasa kejadian namun pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu, kami percaya insiden itu bukan bermotifkan samun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Badan Peguam Malaysia dalam kenyataan memaklumkan pihaknya terkejut dengan insiden serangan terhadap seorang daripada ahli badan berkenaan.

“Serangan hendap yang dirancang itu bukan sahaja serangan ke atas individu tetapi juga serangan terhadap kedaulatan undang-undang,” menurut kenyataan berkenaan.

Lee berkata polis sedang menjalankan siasatan lanjut daripada pelbagai sudut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis juga meminta kerjasama saksi atau sesiapa yang melihat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.