
Seorang menteri Sarawak membuat gesaan itu ketika mengulas kes Cikgu Din baru-baru ini, yang mohon dipindahkan dari Sarawak untuk bersama isteri yang tenat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Fatimah Abdullah, mengingatkan KPM lebih peka terhadap permohonan seperti itu bagi mengelakkan tekanan mental.
“Pemindahan antara negeri adalah bawah bidang kuasa KPM dan saya percaya ini adalah jawatan (penempatan) pertamanya dan sebagai seorang guru baharu, dia belum berhak untuk dipindahkan.
“Namun sebaliknya atas dasar kemanusiaan, permohonan Cikgu Din boleh dipertimbangkan untuk penempatan sementara supaya dia dapat bersama isterinya yang sedang menghidap kanser,” katanya menurut Utusan Borneo.
Nasib Cikgu Din mendapat perhatian netizen selepas dia berkongsi situasinya di Facebook, mengatakan permohonan berulang kali untuk dipindah supaya dapat bersama isterinya yang sakit ditolak, menyebabkannya mengalami kemurungan.
Semalam, KPM mengumumkan ia memberi cuti kepada guru itu, namun tidak menyatakan berapa hari diberikan.
KPM juga berkata, pegawainya akan bertemu guru itu tidak lama lagi untuk membincangkan jenis bantuan boleh ditawarkan kementerian.