
Perkara itu dimaklumkan Cikgu Din atau nama sebenar Mohamad Izzudin Izhar, 34, menerusi perkongsiannya di aplikasi WhatsApp.
“Isteri saya telah menghembuskan nafas yang terakhir jam 9 (malam) tadi… saya mohon maaf kalau isteri saya ada salah silap, dan kalau ada hutang (Allahyarham) mohon beritahu saya,” katanya ringkas, menurut Berita Harian.
Isteri Cikgu Din, iaitu Nur Atiqah My Yusoff, 30, yang menghidap kanser tulang rawan tahap empat menghembuskan nafas terakhir pada 9 malam.
Solat jenazah Allahyarham diadakan di Masjid Putra Taman Desa SBJ Putra Pasir Pekan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru.
Cikgu Din tular di media sosial pada Oktober lalu selepas kisahnya yang resah dan berharap untuk bertukar ke Semenanjung untuk menemani isteri menghidap kanser, mendapat perhatian warganet.
Guru yang bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ming Wok, Kanowit, Sarawak itu juga dilaporkan sanggup berulang-alik dari Sarawak ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua minggu untuk menemani isteri, dan membuat permohonan pertukaran apabila keadaan isteri semakin memburuk.
Justeru KPM mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan dan bersetuju untuk menempatkan Cikgu Din di sekolah berhampiran isterinya untuk tempoh sementara.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam hantaran di Facebook berkata beliau turut menerima perkhabaran duka pemergian isteri Cikgu Din dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarganya.