Pakar gesa segerakan strategi kurang mudarat kesihatan

Pakar gesa segerakan strategi kurang mudarat kesihatan

Pakar dalam Diskusi Meja Bulat Mengenai Pengurangan Kemudaratan untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit berpendapat usaha itu turut disokong aspek ekonomi dan agama.

humanize
Diskusi Meja Bulat Mengenai Pengurangan Kemudaratan untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit dianjurkan Harm Reduction Action Network (HaRAN) bersama Humanize Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Pemegang taruh pelbagai sektor sepakat menekankan keperluan mendesak memperluaskan strategi pengurangan kemudaratan dalam kesihatan awam negara yang turut disokong aspek ekonomi dan agama.

Menerusi Diskusi Meja Bulat Mengenai Pengurangan Kemudaratan untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit diadakan kelmarin, pakar pelbagai bidang berpendapat usaha itu perlu dibuat secara menyeluruh dan segera.

Wacana disertai pemegang taruh daripada sektor kesihatan, ekonomi, dan agama itu dianjurkan Harm Reduction Action Network (HaRAN) bersama Humanize Malaysia, dengan fokus kepada usaha pengurangan kemudaratan.

Ia termasuk berkait jangkitan HIV/AIDS, penggunaan tembakau, dan diet tidak sihat sebagai langkah mengurangkan cabaran kesihatan awam.

Program sehari itu dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

Presiden HaRAN, Dr Anita Suleiman, berkata negara kini berada di titik kritikal untuk mengurangkan kemudaratan yang memberi kesan serampang dua mata iaitu menyelamatkan nyawa dan menjimatkan perbelanjaan kos kesihatan.

Namun, Anita berkata antara cabaran dihadapi ialah persepsi masyarakat, susulan dakwaan bahawa pendekatan berasaskan bukti saintifik itu menggalak tingkah laku berisiko.

Anita menegaskan, matlamat pengurangan kemudaratan ialah mengekang penularan dan menurunkan jangkitan, mengambil contoh kejayaan mengurangkan kes HIV yang disumbang daripada penagihan dadah daripada 70%-80% kepada kurang 50%, antara 2002 hingga 2010.

Turut diajukan projek rintis penggunaan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP), yang boleh menghalang jangkitan HIV secara seksual sehingga 97%. Ubat itu diberikan kepada orang yang belum dijangkiti tetapi berisiko mendapat HIV, katanya.

“Jika tak ada PrEP, golongan muda berisiko tidak akan datang dan mereka akan datang bila mereka telah berjangkit,” katanya.

Anita menjelaskan, pendekatan pengurangan kemudaratan itu mampu mengubah tingkah laku. “Jadi kenapa kita tak selamatkan mereka lebih awal.”

Jimat bilion ringgit

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib, dalam perkongsiannya berkata kerajaan dapat menjimatkan berbilion ringgit dana awam dengan mengambil langkah awal mengurangkan kemudaratan.

Beliau mengambil contoh bagi mencegah jangkitan HIV sahaja, kerajaan dianggarkan mampu menjimatkan RM909.47 juta dalam tempoh 2006 hingga 2050.

Katanya, dianggarkan kerajaan perlu berbelanja RM20,000 setahun atau mencecah RM500,000 bagi merawat pesakit dijangkiti HIV yang kos itu bukan murah.

“Pada masa sama, kesan sosial turut dirasai seperti hilang produktiviti kerana sakit dan kematian awal. Begitu juga peningkatan kes serta kos penguatkuasaan mencegah salah guna dadah,” katanya.

Pandangan Azrul turut disokong dari sudut ekonomi oleh Pengarah Penyelidik Bait Al-Amanah Benedict Weerasena yang menjelaskan pendekatan pragmatik dalam penjagaan kesihatan boleh menjimatkan sehingga RM787.78 juta dalam tempoh 10 tahun.

Beliau memberi contoh penjimatan RM97.83 juta setahun itu boleh dicapai jika pengurangan kemudaratan kepada kesihatan sebanyak 4.2% menerusi usaha menghentikan ketagihan terhadap rokok dan produk tembakau.

“Penjimatan itu boleh digunakan kepada perbelanjaan lain memanfaatkan rakyat dan memberi nilai berganda,” katanya.

Islam galak kurangkan kemudaratan

Sementara itu, Koordinator Fiqh Perubatan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam), Dr Ahmad Faidhi Mohd Zaini, berkata Islam sendiri mengalakkan masyarakat mengurangkan kemudaratan dalam kesihatan.

Katanya, sebanyak 65% penduduk Malaysia adalah Muslim jadi pemegang taruh mesti mengambil kira pendapat atau ruang lingkup agama dalam apa sahaja isu termasuk kesihatan.

“Dalam penyakit itu sendiri harus diraikan (pendapat) oleh pakar bidang perubatan dan juga pakar agama supaya kita mengeluarkan isyarat atau solusi lebih realistik untuk kemaslahatan atau manfaat awam,” katanya.

Pengarah Penyelidikan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh pula berkata usaha akan menjadi positif apabila semua pihak menjadikan fatwa sebagai rujukan termasuk mengurang kemudaratan.

“Perkara ini termasuk bagi bagi melaksanakan sesuatu perkara termasuk merangka dasar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.