
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata program juga menjadi platform mengukuhkan kerjasama di antara pelbagai pihak untuk menangani isu kompleks seperti jangkitan HIV atau aids, ketagihan tembakau dan pengambilan gula.
Menurutnya, kaedah pengurangan kemudaratan telah menjadi asas kepada KKM memerangi penularan HIV dan salah guna dadah sehingga berjaya diselesaikan selain diiktiraf di antara enam negara di Asia menjalankan amalan baik.
Malah Lukanisman menjelaskan cadangan bernas diketengahkan oleh pakar jemputan dalam program sehari itu boleh dijadikan untuk dibincangkan di peringkat KKM dan Parlimen.
“Ini perbincangan menarik dan dapat memberi maklumat lebih lanjut berhubung keperluan, cadangan dan tindakan untuk memanfaatkan kesihatan awam.
“Saya menghargai usaha HaRAN dan Humanize Malaysia yang menghimpunkan pakar pelbagai bidang untuk berkongsi perspektif mereka dalam mengurangkan kemudaratan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan meja bulat itu, kelmarin.
Perbincangan itu membincangkan usaha mengurangkan kemudaratan dari aspek kesihatan awam, ekonomi dan Islam.
Lukanisman berkata KKM telah mempunyai Kertas Putih Kesihatan yang mempunyai strategi jangka panjang untuk mengurangkan penyakit tidak berjangkit (NCD) terutama dalam aspek tingkah laku yang boleh diubah suai dan persekitaran semasa.
“Pengurangan kemudaratan komponen penting mengubah fokus kita kepada pencegahan sekali gus mengurangkan beban kesihatan dan ekonomi negara.
“Malaysia sedang berdepan dengan tekanan akibat populasi yang semakin menua dan peningkatan NCD.
“Tanpa pelaksanaan pengurangan kemudaratan secara meluas, beban kewangan terhadap sistem kesihatan akan terus meningkat,” katanya.