
Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka Rahmad Mariman berkata, usaha menjejaki pengasas Pusat Terapi Tabib Adam di Kampung Lekok di Masjid Tanah itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Perubatan Islam Jarak Jauh Sunan Kalijaga Tabib Adam M Isa, turut dilakukan dengan kerjasama polis.
Rahmad yang juga exco pendidikan, pengajian tinggi dan hal ehwal agama negeri berkata, difahamkan lelaki itu sebelum ini pulang ke Singapura dan masuk semula ke negara ini, namun gagal dikesan sehingga hari ini.
“Anggota penguat kuasa Jaim dengan kerjasama beberapa pihak berkuasa telah memeriksa dan menggeledah pusat rawatan dan tempat jualan ubat selain di rumah Adam dalam operasi semalam, tetapi premis itu telah ditutup dan usaha mengesan Adam serta isterinya tidak berjaya.
“Selain itu, usaha pegawai penguat kuasa agama menghubungi pasangan suami isteri itu menerusi panggilan telefon juga gagal kerana tidak dijawab,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau meminta Adam memberikan kerjasama untuk hadir ke Jaim untuk membantu siasatan berhubung kes terbabit, manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki tersebut diminta menyalurkannya menerusi talian 017-2661280.
Rahmad berkata, ketika serbuan dijalankan, dua anak Adam dan dua pekerja wanita berada di pusat rawatan itu, manakala pelbagai barang kes disita, termasuk papan tanda di pintu gerbang atau pagar masuk, buku resit, ubat-ubatan dan risalah berkaitan produk kesihatan.
Katanya, dua pekerja wanita berusia 38 dan 44 tahun itu ditahan, manakala anak lelaki dan perempuan Adam turut diperintah hadir ke Jaim bagi membantu siasatan.
“Operasi dijalankan selepas Jaim menerima aduan awam yang mendakwa pusat perubatan itu masih beroperasi, walaupun telah ada fatwa pengharaman yang diwartakan oleh kerajaan Melaka,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka memutuskan bahawa amalan dan kegiatan perubatan Pusat Perubatan Islam Jarak Jauh Sunan Kalijaga atau Pusat Terapi atau apa-apa nama amalan dan kegiatan perubatan Iain yang dikaitkan dengan Adam dan pengikutnya didapati menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.
Hal ini kerana ia mengandungi unsur yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah dan syariah, serta bercanggah dengan Garis Panduan Amalan Pengubatan Dan Perbomohan Menurut Islam yang dikeluarkan oleh Maim