
Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris, berkata pihaknya mendapat kebenaran daripada timbalan pendakwa raya (TPR) petang tadi dan semua mereka terdiri sembilan lelaki dan lapan wanita dipanggil untuk merakamkan keterangan bagi membantu siasatan.
“Ada arahan untuk menyiasat, jadi kita akan tunggu kertas siasatan dihantar kepada TPR untuk tindakan susulan,” katanya pada sidang media.
Sebelum ini, Azizi mengesahkan perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang mengibarkan bendera negara asing dan turut tular di media sosial melanggar syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti kewujudan bendera negara lain yang turut dikibarkan dalam perarakan itu.
Katanya, menurut video yang tular terdapat juga bendera Thailand dan Vietnam.
Perarakan yang berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari 8 malam hingga 11.30 malam semalam disertai kira-kira 400 penonton.
Terdahulu, Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh salah satu rombongan pada malam perarakan Guan Gong Sedunia.
Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia, Soon Boon Hua, berkata tindakan mengibarkan bendera negara asing tersebut tidak dirancang dalam tentatif acara oleh pihak pengelola.