
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ramli Mohamed Yoosuf, berkata dua suspek itu didakwa mengemukakan dokumen daripada kementerian berkenaan bernilai RM17 juta.
“Dalam kes tersebut, pengadu memaklumkan dia diperdaya dua lelaki masing-masing berusia 40-an yang menunjukkan dokumen pesanan pembelian dipercayai palsu pada November 2023.
“Dokumen itu didakwa daripada sebuah kementerian bernilai RM17 juta. Ia digunakan bagi memperdayakan mangsa membuat pelaburan berkaitan kelengkapan perlindungan diri,” katanya kepada Harian Metro.
Ramli berkata, mangsa dijanjikan pulangan 18% dalam tempoh empat bulan bersama dengan nilai pelaburan.
“Terpedaya dengan dokumen itu, mangsa bersetuju melabur dan membuat bayaran menerusi 16 transaksi bernilai RM2.3 juta bermula November 2023 hingga 18 Jun lalu secara berperingkat ke syarikat suspek,” katanya.
Bagaimanapun, pengadu tidak memperoleh sebarang pulangan dijanjikan dengan mangsa membuat laporan polis pada 1 Okt.
Semakan pengadu dengan kementerian terbabit mendapati dokumen pesanan pembelian berkenaan tidak wujud dan palsu.
“Susulan itu, kami membuat tangkapan terhadap seorang lelaki pada 15 Okt lalu dan dia direman selama tiga hari sehingga 18 Okt lalu,” katanya.
Polis sedang mengesan seorang lagi suspek terlibat dalam kes itu dengan butiran mengenainya sudah diperoleh.
Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.