Pelajar universiti disyaki tipu lebih 20 NGO direman

Pelajar universiti disyaki tipu lebih 20 NGO direman

Suspek didakwa memohon bantuan kewangan NGO serta orang awam dengan mereka cerita antaranya diugut ah long dan memerlukan bantuan perubatan.

Suspek yang ditahan di IPD Kubang Pasu semalam direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. (Gambar Bernama)
JITRA:
Seorang pelajar lelaki sebuah universiti direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan orang awam dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Perintah reman terhadap pelajar berusia 23 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurul Huda Idris di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Semalam, wakil NGO dari Pulau Pinang Eng Hiap Boon mendakwa lebih 20 NGO di seluruh negara sudah menjadi mangsa penipuan pelajar itu namun tidak melaporkannya kerana pelajar itu mengugut untuk membunuh diri.

Difahamkan modus operandi pelajar terbabit adalah dengan memohon bantuan kewangan daripada NGO mahupun individu dengan mereka-reka cerita antaranya dia diugut ah long dan memerlukan bantuan untuk perubatan, selain menipu perlu membayar yuran pengajian universiti.

Ketua Polis Kubang Pasu Rodzi Abu Hassan mengesahkan penahanan pelajar lelaki itu kira-kira 4 petang semalam ketika dipanggil memberi keterangan di IPD Kubang Pasu di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.