KPT kaji kecualikan universiti dari Akta 605, kata Zambry

KPT kaji kecualikan universiti dari Akta 605, kata Zambry

Zambry Abdul Kadir berkata Kementerian Pengajian Tinggi tidak mahu universiti terkongkong dengan ketakutan untuk menyampaikan pandangan.

Zambry Abdul Kadir berkata halangan terbesar kebebasan suara disebabkan universiti berada di bawah Akta 605. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melihat semula untuk mengecualikan universiti awam daripada Akta 605 Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 bagi memastikan kebebasan bersuara.

Menterinya Zambry Abdul Kadir berkata usaha tersebut bagi membolehkan universiti sebagai pusat menggembleng pemikiran untuk kemajuan negara tidak terkongkong dengan ketakutan untuk menyampaikan pandangan.

“Namun dengan syarat dalam tradisi intelektual, kesarjanaan seseorang yang bercakap itu tak cakap secara merapu tanpa fakta dengan buat teori bukan-bukan.

“Kita akan lihat semula (beri pengecualian universiti awam daripada Akta 605 dalam konteks akta ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berhubung langkah akan diambil KPT bagi memastikan insiden Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa melarang kakitangannya membuat kenyataan awam tidak berulang semula.

Bagaimanapun, UKM pada 18 Okt, menafikan pihaknya menghalang kebebasan mana-mana warga akademik dan petugas untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.

Mengulas lanjut, Zambry mengakui halangan terbesar kebebasan suara disebabkan universiti berada di bawah Akta 605, sambil menambah ketika ini 12 institusi telah dikecualikan daripada peruntukan tersebut.

“Saya sering ingatkan bahawa universiti adalah pihak yang mewakili sebuah negara. Jadi ini yang sangat penting diambil perhatian.

“Selepas perkara ini timbul (isu UKM) saya telah mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi, mengapakah kekangan seperti ini berlaku dalam dunia akademik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.