LatestHeadlines

Persekutuan jadikan negara lebih kuat, kata 2 negarawan

By: FMT Reporters

Negeri yang bersendirian tidak akan jadi sangat kuat, kata Dr Mahathir Mohamad, manakala Tengku Razaleigh Hamzah berkata persekutuan perlindungan terbaik daripada ancaman.

Cover Image for Persekutuan jadikan negara lebih kuat, kata 2 negarawan
Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah bercakap mengenai keperluan untuk Malaysia bersama mempertahankan wilayah dan sumbernya.

PETALING JAYA: Persekutuan Malaysia diasaskan atas premis bahawa kekuatan sebenar terletak pada perpaduan semua wilayahnya, kata negarawan Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah

“Persekutuan beri kekuatan kepada negeri. Negeri yang bersendirian tidak akan menjadi sangat kuat. Sejak awal lagi kami memutuskan bahawa kita harus mempunyai sebuah negara persekutuan yang terdiri daripada banyak negeri,” kata bekas perdana menteri Mahathir kepada FMT.

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, yang pernah berkhidmat di bawah empat perdana menteri, berkata salah satu kebimbangan utama British apabila ingin berundur dari wilayah yang mereka duduki adalah keselamatan jangka panjang negara-negara itu.

“Anda perlu fikir mengapa (British galak pembentukan Malaysia) dan kenapa kami bersetuju menyatukan wilayah-wilayah untuk membentuk sebuah persekutuan,” katanya.

“British pergi ketika Sarawak diancam komunis, dan Singapura diancam komunis. Apabila kita bentuk Malaysia, kita berdepan Macapagal di Filipina (cuba menuntut Sabah). Kita berdepan Sukarno di selatan yang ingin ‘Ganyang Malaysia’.

Filipina di bawah Presiden Diosdado Macapagal menuntut Sabah dan menentang pembentukan Malaysia, malah memutuskan hubungan diplomatik yang hanya dipulihkan pada 1969. Beliau juga mencadangkan konsep Maphilindo untuk menyatukan Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Indonesia di bawah Presiden Sukarno pula melancarkan Konfrontasi dari 1963 hingga 1966, untuk ‘Ganyang Malaysia’ dengan tujuan untuk menegaskan kekuasaan Indonesia di rantau ini. Konfrontasi menyaksikan askar payung terjun Indonesia dihantar untuk mendarat di Batu Pahat dan Melaka, dan pencerobohan di Sabah dan Sarawak.

Ancaman semasa

Tengku Razaleigh maklum bahawa Malaysia ketika ini berdepan ketegangan berterusan yang disebabkan oleh persaingan antara Amerika Syarikat dan China, serta usaha berterusan China untuk memperluaskan tuntutannya di Laut China Selatan.

Malaysia mesti bekerja sebagai satu kolektif untuk melindungi wilayah dan sumbernya, tegas Tengku Razaleigh.

Katanya, Malaysia perlu lebih berjaga-jaga dengan pembinaan Nusantara sebagai ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur, yang melaluinya Indonesia akan “mempunyai banyak pengaruh di pulau Borneo dan apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak.”

Tengku Razaleigh berkata federalisme memberikan perlindungan terbaik daripada ancaman ketenteraan dan potensi pengaruh diplomatik luar.

Bekas menteri kewangan itu turut membidas sentimen pemisahan di Sabah dan Sarawak:

“Bolehkah anda bayangkan jumlah wang yang perlu kita belanjakan sekiranya berlaku perpecahan (Malaysia)?

“Bolehkah anda bayangkan setiap negara baharu itu perlu berbelanja dan membina tentera laut baharu, tentera udara baharu? Anda berdepan China, anda berdepan Amerika Syarikat di Pasifik. Bolehkah anda bayangkan?”

Perbelanjaan pertahanan

Kerajaan mengumumkan langkah-langkah untuk menambahbaik daya tahan Malaysia Timur dengan membina pangkalan tentera laut dan udara baharu di Bintulu, Sarawak.

Kos membina dua pangkalan itu belum didedahkan namun belanja untuk mendapatkan peralatan ketenteraan boleh mencecah puluhan bilion ringgit. Pangkalan di Bintulu misalnya direka untuk menempatkan kapal misi pesisir Malaysia, yang dilaporkan berharga RM800 juta seunit.

Perlembagaan menetapkan kerajaan persekutuan bertanggungjawab ke atas semua perbelanjaan pertahanan. Minggu lalu, kerajaan mengumumkan dalam Belanjawan 2025 bahawa sebanyak RM21.2 bilion diperuntukkan untuk Kementerian Pertahanan, meningkat RM1.4 bilion berbanding peruntukan bagi 2024.

Namun, pakar hal ehwal maritim di Universiti Kebangsaan Malaysia, Salawati Mat Basir, bimbang kerajaan tidak beri keutamaan secukupnya pada keselamatan negara dalam rancangan perbelanjaannya.

Pakar lain pula, mengambil kira risiko geopolitik dan cabaran keselaamtan lain, berkata Malaysia mesti segerakan pemodenan aset tentera yang semakin tua. Bagaimanapun, berbuat demikian adalah mahal, dan terdapat keutamaan lain yang turut menuntut perhatian seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Tuntutan

Selain itu, beberapa negeri sejak beberapa tahun kebelakangan ini berusaha mendapatkan bahagian yang lebih besar daripada hasil negara.

Awal tahun ini, Pulau Pinang dan Johor menunjukkan hasrat untuk menuntut sekurang-kurangnya 20% daripada hasil cukai persekutuan yang dikutip daripadanya, manakala Kelantan, Terengganu, Sabah, dan Sarawak berusaha mendapatkan bahagian yang lebih besar daripada royalti hasil minyak.

Tindakan undang-undang turut diambil oleh Pertubuhan Undang-Undang Sabah berhubung geran khas untuk Sabah, seperti yang diperuntukkan Perlembagaan.

Sarawak mengambil langkah menerusi undang-undang negeri untuk mengambil alih peranan agregator gas daripada Petronas, yang mengambil 90% daripada bekalan gas asli cecair dari perairan Sarawak.

Pertikaian itu membawa kepada bisik-bisik yang mencadangkan agar Sarawak tinggalkan sahaja Persekutuan sekiranya permintaannya tidak ditunaikan. Sentimen pemisahan juga pernah dibangkitkan di Sabah.

Mahathir menepis cakap-cakap itu sebagai sia-sia, mengaitkan ia dengan ‘sesetengah pelampau’, dan menggesa semua pihak bertolak ansur agar persekutuan utuh