Puad harap Bersatu dibubar, ahli kembali ke pangkuan Umno

Puad harap Bersatu dibubar, ahli kembali ke pangkuan Umno

Bersatu sejak awal penubuhan tidak pernah stabil dan sentiasa bergolak kerana perebutan kuasa, dakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi.

BERSATU
Puad Zarkashi berkata berharap kemelut dalaman Bersatu berakhir dengan pembubaran parti itu dan PRN Sabah tidak lama lagi akan membuka jalan parti itu berakhir.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno berharap kemelut dalaman Bersatu berakhir dengan pembubaran parti itu, sekali gus membuka jalan kepada ahlinya kembali ke pangkuan Umno.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi mengulas kenyataan Dr Mahathir Mohamad semalam yang menegaskan perpecahan Bersatu bukan bererti perpecahan orang Melayu.

Bekas perdana menteri itu dipetik berkata sebarang pertikaian dalam parti adalah isu dalaman dan tidak wajar dianggap sebagai bibit perpecahan dalam perjuangan utama untuk memartabatkan bangsa Melayu.

Puad Zarkashi
Puad Zarkashi.

“Ambil contoh pembubaran Semangat 46. Mereka menyertai semula Umno. Bersatu didokong oleh katak. Diharap PRN Sabah membuka jalan parti itu akan berakhir,” kata Puad di Facebook.

Menurutnya, Bersatu sejak awal penubuhan tidak pernah stabil dan sentiasa bergolak kerana perebutan kuasa, malah bekas pengerusinya sendiri, Mahathir, disingkirkan.

“Sejak berkuasa, Bersatu tidak pernah aman. Semuanya gila kuasa. Tun M sendiri disingkir daripada Bersatu,” katanya.

Beliau turut mendakwa Bersatu sebagai punca kejatuhan Muafakat Nasional (MN) susulan pembentukan Perikatan Nasional (PN), langkah yang menurutnya memecah-belahkan blok politik Melayu.

“Bersatu bertanggungjawab tubuh PN yang membunuh MN. Maka diharap perpecahan dalaman Bersatu itu berakhir dengan parti itu dibubarkan dan mereka menyertai semula Umno,” katanya.

Kenyataan Mahathir itu hadir di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak dalam Bersatu, susulan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana didakwa melanggar perlembagaan dan tatakelakuan parti.

Lembaga disiplin parti turut menyingkirkan empat ketua bahagian iaitu Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya), Faizal Asmar (Pengerang), Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Isa Saidi (Ampang).

Tindakan tersebut menimbulkan kegelisahan dalam kalangan ahli, mendorong 16 Ahli Parlimen Bersatu mengutus surat bertarikh 23 Okt mendesak Muhyiddin menangani ‘isu dalaman’ bagi mengelakkan parti ‘menjadi mangsa ego mana-mana pemimpin’.

Menurut Ahli Parlimen terbabit, tindakan disiplin yang ‘tidak wajar’ itu ‘mencemarkan imej dan momentum parti’ selain menjejaskan sokongan rakyat terhadap cadangan belanjawan bayangan PN dibentangkan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.