Pengurusan tertinggi GISBH antara 22 didakwa hari ini

Pengurusan tertinggi GISBH antara 22 didakwa hari ini

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara petang semalam.

GISBH RAWANG-SITA
Sejak Op Global fasa pertama bermula awal September sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan.
KUALA LUMPUR:
Pengurusan tertinggi Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dan isteri antara 22 individu akan dituduh mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) petang semalam.

“Turut akan didakwa mengikut pertuduhan sama esok ialah anak kepada pengasas Al-Arqam, dan semua individu berkenaan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang esok pagi,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Pada 10 Okt lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zin memaklumkan pemimpin tertinggi GISBH itu antara 58 individu ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Selain itu, sebanyak 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.

Sejak Op Global fasa pertama bermula awal September, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.