
Pendaftar Pertubuhan Peladang dalam kenyataan berkata, di bawah perundangan sebarang aduan atau dakwaan perlu dikemukakan terlebih dahulu kepada pihaknya berdasarkan Seksyen 7 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).
“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, Pendaftar Pertubuhan Peladang belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan penggantungan tugas pengurus besar Nafas daripada pengerusi jemaah Nafas.
“Justeru, keputusan mesyuarat jemaah pengarah Nafas pada 22 Okt berkaitan penggantungan pengurus besar Nafas tidak boleh dikuatkuasakan sehingga satu pertimbangan dan keputusan muktamad dikeluarkan oleh pendaftar,” katanya.
Katanya, tindakan ahli jemaah Nafas mengeluarkan kenyataan media berkaitan penggantungan Faris adalah tidak wajar.
Semalam, jemaah pengarah Nafas mengantung tugas Faris susulan beberapa penemuan pelanggaran tatakelola terkait pertubuhan itu yang merupakan dana milik ahli.
Menurut Nafas, pihaknya mendapati berlaku pelanggaran tatakelola ketara apabila terdapat penyaluran kewangan kepada badan-badan kerajaan atau NGO yang tidak mempunyai kaitan dengan pertubuhan itu, malah ia juga di luar pengetahuan jemaah pengarah.
Faris bagaimanapun mendakwa tuduhan dilemparkan kepadanya dibuat sebelum proses semakan dalaman.
Katanya, sepanjang menjawat jawatan itu, setiap inisiatif dilaksanakan Nafas adalah selaras agenda reformasi kerajaan yang menekankan ketelusan, kecekapan, dan akauntabiliti.