Kamu bersungguh kenapa, PAS bidas Sim berkait bajet bayangan

Kamu bersungguh kenapa, PAS bidas Sim berkait bajet bayangan

Ketua penerangan PAS persoal wakil rakyat PH mahu PN kemuka bajet bayangan kerana hal sama tidak dilakukannya ketika jadi pembangkang usai PRU14.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari memberitahu Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin bajet bayangan tidak relevan.
PETALING JAYA:
PAS menolak desakan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) supaya pembangkang menyediakan bajet bayangan, menyifatkannya tidak relevan kerana memerlukan angka tepat berkaitan unjuran dan butiran pendapatan negara.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata pihaknya hanya mengetahui unjuran dan butiran pendapatan negara yang disediakan pegawai Kementerian Kewangan menerusi pembentangan belanjawan baru-baru ini.

“Jadi penyediaan bajet alternatif adalah perkara yang tidak perlu. PH tak payahlah mengajar kami cara untuk kami mengemukakan idea, kerana yang penting sama-sama bekerja memakmurkan dan memberikan kebaikan kepada negara.

“(Kita harus) membahaskan belanjawan yang dibentangkan dalam Dewan dan bukan di luar Dewan,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu kepada FMT.

Semalam, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin menggesa Perikatan Nasional (PN) memainkan peranan semak dan imbang, apabila gabungan itu tidak mengemukakan bajet bayangan selepas kerajaan membentangkan Belanjawan 2025 minggu lalu.

Sim berkata, pembangkang wajar membentangkan belanjawan tersendiri supaya sistem demokrasi sihat dan berfungsi.

Mengulas lanjut, Fadhli mempersoalkan mengapa Sim bersungguh-sungguh mahu PN mengemukakan bajet alternatif kerana hal sama tidak dilakukan PH semasa menjadi pembangkang selepas PRU14.

“Mereka hanya menyediakan bajet alternatif sebelum PRU 2018. Selepas PRU 2018 ketika mereka jadi pembangkang pada tahun 2020, 2021 dan 2022 mereka tidak menyediakan bajet alternatif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.