
Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata pekerja terbabit pula membayar 10% caruman daripada gaji mereka, iaitu kurang 1% berbanding warga tempatan.
“Ini bermaksud bagi seorang pekerja asing mempunyai gaji asas RM1,700, caruman 1.5% majikan ialah RM20.50 manakala caruman pekerja (asing) ialah RM170, jika digabungkan keseluruhannya
RM190.50.
“Ini hampir mencapai angka kenaikan kadar gaji minimum untuk tahun depan, iaitu RM200,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Isnin lalu, KWSP mengumumkan liputan mandatori untuk pekerja bukan warganegara sebagai usaha memperluaskan perlindungan sosial susulan pengumuman Belanjawan 2025 yang mewajibkannya, dengan pelaksanaan dibuat berfasa.
Perkembangan berkait caruman KWSP pekerja asing itu menyusul pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 mulai Februari tahun depan.
Bagaimanapun, kerajaan memberi penangguhan enam bulan bagi majikan yang mempunyai kurang lima pekerja.
Mengulas lanjut, Kok berkata langkah mewajibkan caruman itu boleh membantu majikan daripada mengalami masalah pekerja lari dan ‘dicuri’ sindiket yang menyasarkan pekerja mempunyai permit.
“Sesetengah pekerja asing yang tamat tempoh kontrak pekerjaannya terus hilang diri kerana tiada simpanan wang selepas membayar hutang kepada agen atau ‘Ah Long’ di negara asal mereka.
“Ada yang tidak mampu membeli tiket penerbangan untuk balik ke negara asal selepas tamat permit,” katanya.