‘Tiada faedah’, Bersekutu Bersatu bidas cadangan tubuh parti baharu

‘Tiada faedah’, Bersekutu Bersatu bidas cadangan tubuh parti baharu

Ketua Penerangan Sanjeevan Ramakrishnan berkata terlalu banyak parti berasaskan kaum hanya akan memecahkan-belah sesebuah komuniti.

Ketua Penerangan Bersekutu Bersatu Sanjeevan Ramakrishnan berkata tiada guna jika parti berasaskan kaum tumbuh bagai cendawan tetapi akhirnya masalah rakyat gagal diselesaikan.
PETALING JAYA:
Tiada keperluan Bersekutu keluar Bersatu dan menubuhkan parti sendiri berteraskan kaum bukan Bumiputera.

Itu tegas Ketua Penerangannya Sanjeevan Ramakrishnan menjawab saranan penganalisis politik Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya susulan sayap itu kini seolah-olah ‘boneka’ bergantung kekuatan Bersatu diketuai Muhyiddin Yassin.

Bercakap kepada FMT, bakal naib ketua sayap itu berpendapat langkah terbabit hanya akan memecahkan sokongan orang bukan Islam dan Melayu serta tidak memberikan sebarang faedah.

Tegasnya, tiada guna jika parti berasaskan kaum tumbuh bagai cendawan tetapi akhirnya masalah rakyat gagal diselesaikan.

“Mereka nak tengok anda (pemimpin) boleh buat kerja ke tak…boleh memperjuangkan hak dan nasib mereka.

“Tak kisahlah duduk bawah Bersatu atau tubuh parti baharu tetapi kalau tak buat kerja, anda tetap tak dapat sokongan rakyat,” katanya.

Mohamad Tawfiq mencadangkan sayap Bersekutu Bersatu menjadi salah sebuah parti bernaung di bawah Perikatan Nasional (PN) bersama PAS, Bersatu, Gerakan serta Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Mengulas lanjut, Sanjeevan berkata keberadaan Bersekutu di bawah Bersatu akan memberi pandangan bahawa parti itu turut memperjuangkan nasib bukan Bumiputera.

“Kalau kita tubuh satu parti bawah PN, adakah ia membantu parti itu atau gabungan? Sekarang Bersekutu duduk bawah Bersatu, ia membantu Bersatu secara langsung sebab kami ke mana-mana pun guna logo Bersatu.

“Jika kami tubuh parti baru, sudah tentu kami akan guna logo PN,” katanya menegaskan ahli Bersekutu tiada masalah terus bernaung bawah kepimpinan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

“Saya dah menang naib, Chong (Fat Full) juga kekal jawatan ketua, jadi dalam MPT kita dah ada wakil India dan Cina untuk bawa suara setiap kaum,” katanya.

Sayap Bersekutu Bersatu ditubuhkan pada 2021 dan kini mempunyai 26 bahagian di seluruh negara dengan ahlinya terdiri bukan Bumiputera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.