Hapus hampir 67% miskin tegar, Anwar nafi kerajaan gagal

Hapus hampir 67% miskin tegar, Anwar nafi kerajaan gagal

Anwar Ibrahim menegaskan tidak adil untuk mengatakan pentadbirannya gagal membasmi kemiskinan tegar.

miskin tegar
Anwar Ibrahim berkata 65.6% daripada 22,893 miskin tegar telah berjaya dinoktahkan sehingga 1 Ogos lalu. (Facebook pic)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bahawa kerajaan gagal menamatkan kemiskinan tegar pada penghujung tahun lalu.

Beliau yang juga menteri kewangan menjelaskan 65.6% daripada 22,893 miskin tegar telah berjaya dinoktahkan sehingga 1 Ogos lalu, sambil mendakwa baki terbabit termasuk senarai ketika pentadbiran terdahulu dan baharu.

“Janganlah kata gagal, jumlah ini (yang saya sebut tadi) adalah masa kerajaan disokong YB Rantau Panjang, kita guna angka itu dan kita selesaikan.

“Kemudian saya rujuk semua kerajaan negeri,” katanya menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang turut mendakwa kerajaan gagal menoktahkan miskin tegar sepertimana dijanjikan pentadbiran Anwar iaitu penghujung 2023.

Anwar berkata kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi kaum dalam membasmi kemiskinan sebaliknya mengambil kira semua pelbagai lapisan masyarakat.

“Sebagai contoh bila kita selesaikan miskin tegar di Kuala Lumpur, kita tidak ikut kaum… maknanya semua masyarakat miskin tegar membabitkan Melayu, India dan sejumlah kecil masyarakat Cina.

“Tidak benar dikatakan hanya untuk Melayu tapi tentunya majoriti,” katanya menjawab soalan tambahan S Kesavan (PH-Sungai Siput).

Anwar menambah, kerajaan menggunakan ukuran per kapita untuk menentukan kategori miskin tegar, berbeza daripada dahulu yang mengambil kira pendapatan.

“Tetapi kita lihat ada kelemahan umpamanya kalau pendapatan RM2,000 tetapi empat isi rumah, jadi pendapatan sebenar RM500. Berbeza RM2,000 dengan lapan isi rumah, jadi pendapatan sebenar adalah RM250.

“Sebab itu ia diubah dari pendapatan kepada per kapita, saya rasa lebih tepat, tetapi ia perlu mengambil kira per kapita berapa orang anak dan tanggungan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.