
Ahli Parlimen Putatan itu berkata, isu berkenaan sedikit hangat apabila Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan notis perobohan dan pemindahan kepada penduduk susulan tempoh pajakan lot tamat.
“Kesan daripada notis tersebut, ada dua kali sesi perbincangan secara rasmi diadakan.
“Hasil daripada perbincangan dan juga komunikasi berterusan saya bersama Datuk Bandar Kota Kinabalu, kita bersetuju notis perobohan yang pada mulanya dijadualkan 14 Okt dan kemudian 1 Nov itu kita tangguhkan,” katanya menurut Sinar Harian.
Tetapi, menteri kerja raya Sabah itu berkata, DBKK memaklumkan beberapa struktur rumah uzur dibimbangi mengundang risiko dari segi keselamatan, kesihatan dan kemalangan.
“Jadi, mereka bersetuju dirobohkan sekiranya perlu dan tindakan ini akan dilakukan DBKK. Namun, kita telah berbincang bahawa perobohan ini bukan dilakukan serta-merta atau secara mengejut tanpa makluman.”
Beliau berkata, keputusan atau pelantikan pemaju belum dimuktamadkan DBKK untuk pembangunan semula Kampung Sembulan Tengah.
Akhbar itu pada 8 Okt lalu melaporkan lebih 1,000 penduduk Kampung Sembulan meminta kerajaan menangguhkan sementara perobohan rumah di kampung berkenaan.