Penunggang parah, polis buru pemandu langgar lari

Penunggang parah, polis buru pemandu langgar lari

Lelaki berusia 45 tahun parah di kepala dalam kejadian tular di media sosial.

langgar penunggang motosikal
Tular rakaman kamera papan pemuka menunjukkan pemandu kereta memecut selepas menghimpit dan melanggar motosikal. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis sedang mengesan pemandu sebuah kereta yang melanggar lari seorang penunggang motosikal di KM3.0 Sistem Lingkaran–Lebuhraya Kajang (SILK) arah Balakong.

Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof, berkata dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, pemandu kereta berkenaan memandu di lorong paling kanan di belakang motosikal sebelum memotong, menghimpit, dan melanggar motosikal di hadapannya menyebabkan motosikal itu terbabas.

“Akibat daripada kemalangan ini, seorang lelaki berusia 45 tahun cedera parah di kepala dan telah dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan.

“Kes telah disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya dalam kenyataan.

Naazron menyeru dan memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat Ammar Mohd Tahir melalui talian 018-2586153 untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, di X, tular sebuah video berdurasi 42 saat dipercayai rakaman kamera papan pemuka milik kenderaan lain memaparkan kejadian terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.