Lelaki muka berdarah, pegang parang berkeliaran di Bertam mangsa nahas

Lelaki muka berdarah, pegang parang berkeliaran di Bertam mangsa nahas

Polis berkata laporan kejadian itu dibuat seorang wanita pada 4.17 petang 6 Okt dan lelaki terbabit menyerah diri pada hari sama.

Ketua Polis Seberang Perai Utara Anuar Abd Rahman berkata lelaki itu melarikan diri ke Bertam sambil membawa sebilah parang dari keretanya kerana bimbang dipersalahkan sebagai punca kemalangan. (Gambar fail)
KEPALA BATAS:
Polis menjelaskan kejadian seorang lelaki dengan mukanya cedera berdarah sambil memegang parang dan berkeliaran di kawasan Bertam di sini pada 6 Okt lepas ialah pemandu kereta terlibat kemalangan.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abd Rahman, berkata polis menerima laporan kejadian itu daripada seorang wanita pada 4.17 petang 6 Okt dan lelaki berkenaan menyerah diri pada hari sama.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu terlibat kemalangan semasa dalam perjalanan menaiki sebuah kereta dari Alor Setar, Kedah ke Subang, Selangor sebelum melanggar dua kenderaan lain sehingga menyebabkan keretanya (suspek) terbabas ke longkang.

“Lelaki itu melarikan diri ke kawasan Bertam sambil membawa sebilah parang dari keretanya kerana bimbang dipersalahkan sebagai punca kemalangan berlaku dan kejadian itu mempunyai kaitan dengan laporan polis berhubung kemalangan di KM120 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, iaitu membawa senjata berbahaya di tempat awam.

Orang ramai dinasihatkan tidak mensensasikan kes itu sehingga mengganggu ketenteraman awam dan polis meminta kerjasama saksi berhubung dengan pegawai penyiasat Irwan Shah Sumardi menerusi talian 04-5762222 (sambungan 227) atau mana-mana balai polis berdekatan.

Terdahulu, tular beberapa gambar memaparkan seorang lelaki memegang parang berkeliaran di Bertam sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.