Lebih baik tubuh parti baharu bawah PN, Bersekutu Bersatu diberitahu

Lebih baik tubuh parti baharu bawah PN, Bersekutu Bersatu diberitahu

Kewujudan sayap itu mewakili bukan Bumiputera dalam Bersatu bukan sahaja kurang dikenali malah dilihat semacam 'boneka'.

Chong Fat Full
Penganalisis berkata sayap Bersekutu tidak boleh dianggap untuk memperlihatkan Bersatu meraikan pelbagai kaum.
PETALING JAYA:
Penganalisis berkata sayap Bersekutu semacam ‘boneka’ Bersatu dan berpandangan ahlinya perlu keluar menubuhkan parti bukan Bumiputera, namun bernaung bawah Perikatan Nasional (PN).

Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) berkata, bukan sahaja sayap itu kurang dikenali malah sekadar dilihat ‘menumpang’ dalam parti.

Mohammad Tawfik Yaakub.

“Sayap bersekutu ini sekadar ‘boneka’ saja untuk memperlihatkan Bersatu ini meraikan masyarakat pelbagai kaum,” katanya kepada FMT.

“Kalau Bersatu nak tarik sokongan bukan Melayu bukan begini caranya, lihat Umno yang meraikan kaum lain dengan parti komponen dalam BN. Bahkan, Umno pun tak buka sayap parti kepada bukan Melayu tetapi hanya Bumiputera.”

Beliau berkata, Bersekutu tidak relevan meraih sokongan bukan Melayu, sambil menyatakan sayap itu ‘hanya bergantung kepada kekuatan Bersatu semata’.

Pada 15 Okt, Ketua Penerangan Sanjeevan Ramakrishnan, menyuarakan keyakinan untuk sayap itu bertanding pada PRU16 di Negeri Sembilan, Johor, Selangor, dan Pulau Pinang, selain optimis mampu memecahkan ‘telur’ iaitu tidak tumpas sepenuhnya.

Mengulas hal itu, Tawfik berkata apa disasarkan sayap itu ‘sekadar angan-angan’ memandangkan parti bukan Melayu dalam komponen PN iaitu Gerakan, gagal menang kerusi Parlimen dan berpuas hati menang satu DUN di Kedah.

Ariff Aizuddin Azlan
Ariff Aizuddin Azlan.

Berbeza pandangan dengan Tawfik, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata perubahan kepimpinan Bersekutu kritikal menarik undi bukan Melayu pada PRU akan datang.

“Sayap Bersekutu perlu lebih terurus dan perlu buat tinjauan umum selidik tuntutan pengundi (bukan Melayu) yang perlu direalisasikan,” katanya.

Katanya, tidak mustahil Bersekutu mampu membuat kejutan pada pilihan raya.

“Tidak mustahil Bersekutu mencipta kejutan kerana senario politik masa kini bergantung kepada pembentukan persepsi,” katanya.

Pada pemilihan sayap Bersekutu, Chong Fat Full kekal sebagai ketuanya bagi penggal 2024-2027 selepas menewaskan pencabar, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Bangi, Vasantha Kumar Krishnan, manakala Sanjeevan menang jawatan naib ketua dan beberapa muka baharu juga memenangi pemilihan 12 Okt lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.