Lombong pasir: SPRM rakam keterangan 20 saksi

Lombong pasir: SPRM rakam keterangan 20 saksi

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak menolak akan ada premis diserbu lagi.

Azam Baki berkata, siasatan berkait isu MBI sedang giat dilaksanakan.
PETALING JAYA:
Sekurang-kurangnya 20 saksi telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat isu perlombongan pasir syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Agensi itu juga tidak menolak kemungkinan melakukan serbuan baharu ke atas mana-mana premis lagi jika ada keperluan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata pegawai penyiasat sedang giat menjalankan siasatan dari segenap aspek bagi mendapatkan bukti berkaitan kes itu.

“Mana-mana tempat yang mempunyai barang bukti menjadi tugas kepada pegawai penyiasat saya untuk mencari bukti berkenaan,” katanya menurut Bernama selepas Majlis Tamat Latihan Dan Pentauliahan Pegawai Integriti Muda (YIO) Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus.

Sebelum ini, Azam tidak menolak ahli politik terkait akan dipanggil pihaknya bagi siasatan lanjut.

Majlis hari ini menyaksikan 39 kadet Kor SUAR UniSZA ditauliahkan sebagai YIO SPRM oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB).

Azam berkata, UniSZA adalah satu-satunya institusi pendidikan tinggi (IPT) yang menubuhkan Kor SUAR bagi melahirkan graduan berintegriti tinggi serta mempunyai pengetahuan dalam pencegahan rasuah.

Beliau berkata, SPRM akan memperkasa kursus Kor SUAR di UniSZA dengan penambahan program latihan persenjataan dalam modul sedia ada selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.