Insiden 5 hilang latihan regata: Khairul baru tunang, tak tahu berenang

Insiden 5 hilang latihan regata: Khairul baru tunang, tak tahu berenang

Bapa saudara Muhammad Khairul Hisyam Kasturi terkejut pembabitan anak buahnya yang tidak pernah bermain perahu.

Lima peserta regata dikhuatiri lemas di Sungai Sarawak apabila bot mereka karam ketika mengadakan latihan sempena Festival Regata Sarawak–Kuching Waterfront 2024. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, 23, seorang daripada lima mangsa hilang susulan insiden bot regata karam ketika sesi latihan di Sungai Sarawak semalam, tidak menyukai aktiviti air dan tidak mahir berenang sejak kecil.

Mendedahkan perkara itu, bapa saudaranya Mohd Ridzuan Aban, 64, berkata yang menyedihkannya ialah insiden berkenaan berlaku selepas Khairul baru sahaja mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihannya, yang dikenali sejak di bangku sekolah, Najwa Anizan, 22, pada 13 Okt.

“Saya hanya mengetahui Khairul menyertai acara regata selepas menerima berita sedih ini, dia tiada sejarah main perahu dan tidak biasa main (aktiviti) di laut, jadi sejujurnya saya terkejut bila mengetahui dia menyertai acara perahu sebab dia tak pandai berenang.

“Ini kali pertama dia ikut pertandingan regata dan latihan semalam ialah latihan ketiganya…kalau saya tahu dari awal dia sertai regata, memang saya akan larang sebab sukan ini risikonya tinggi apatah lagi kalau tak pandai berenang,” katanya.

Ditemui pemberita di pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Royal Bay Commercial Centre, Ridzuan yang berasal dari Kampung Rebak, Asajaya, berkata dia mengetahui berita insiden berkenaan kira-kira 7 malam semalam selepas mendapat panggilan daripada ibu mangsa.

Ridzuan menyifatkan anak sulung daripada dua beradik itu sebagai seorang yang pendiam, namun periang dan bertanggungjawab terhadap keluarganya.

“Tak lama sebelum ini kami dah terima musibah. Saya dan ibu mangsa pun baru sahaja kehilangan adik kami kira-kira 20 hari lepas dan tragedi ini menjadikan kami kehilangan seorang lagi ahli keluarga tersayang dalam masa kurang sebulan.

“Tunangnya pun memang terkejut sehingga pengsan…dari tadi dia hanya mampu memeluk baju Khairul, jadi kita doakan semoga yang berlaku ini ketentuan Allah dan perlu reda dengan-Nya,” katanya.

Sebanyak lima peserta regata dikhuatiri lemas kira-kira 3.50 petang semalam di Sungai Sarawak berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa, apabila bot mereka karam susulan gelombang pergerakan sebuah bot nelayan yang datang dari arah bertentangan.

Dalam insiden berkenaan, hanya 11 daripada 16 peserta regata yang juga kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) berjaya menyelamatkan diri.

Empat lagi mangsa yang hilang ialah Mohamad Ikhmal Sama’ail, 34, Majurie Maharuf, 32, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26, dan Mohamad Khairul Bidin, 26.

Semua peserta yang terlibat sedang menjalani latihan bagi acara kemuncak perlumbaan Festival Regata Sarawak–Kuching Waterfront 2024 yang bakal diadakan pada 1 hingga 3 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.