Kapten kapal layar karam ditemukan selamat

Kapten kapal layar karam ditemukan selamat

Warga Turki, Ahmet Volkan Ata ditemukan pada 9.45 malam oleh bot nelayan pada kedudukan tujuh batu nautika dari Pulau Yu.

Kapten kapal layar
Kapten kapal layar Daisy, Ahmet Volkan Ata (kiri) ditemui selamat selepas lebih 40 jam terapung di laut selepas kapal itu karam di perairan Pulau Yu. (Gambar PDRM)
KUALA TERENGGANU:
Setelah terapung lebih 40 jam, kapten kapal layar Daisy ditemukan selamat malam tadi, selepas kapal layar itu karam di perairan Pulau Yu, di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata Ahmet Volkan Ata, 52, warga Turki, ditemukan pada 9.45 malam oleh bot nelayan pada kedudukan tujuh batu nautika dari Pulau Yu.

“Mangsa (Ata) kini dirawat di Zon Kuning Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini. Mangsa stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun akan menjalani pemeriksaan lanjut di bahagian dalaman badan kerana berada lama dalam air,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata seorang penumpang kapal layar itu iaitu Eser Demirkol, juga warga Turki masih hilang.

Azli dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan kedua-dua mangsa bersama seorang lagi penumpang kapal iaitu Ates Demiroren merupakan peserta pelayaran dari Turki yang merancang melakukan siri jelajah mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal mereka.

Bagaimanapun pada 2.30 petang Selasa, kapal layar itu dilanda ribut dan karam di perairan Pulau Yu.

Demiroren dijumpai selamat dalam keadaan terapung di perairan itu oleh nelayan tempatan tengah hari tadi dan telah dibawa ke Jeti Pulau Duyung di sini, sebelum dihantar ke balai polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.