Tingkat pemberian khas bantu rapat jurang pembangunan di Malaysia Timur, kata Fadillah

Tingkat pemberian khas bantu rapat jurang pembangunan di Malaysia Timur, kata Fadillah

Fadillah Yusof berkata kadar pemberian khas di Sabah dan Sarawak meningkat di bawah kerajaan perpaduan.

Fadillah Yusof berkata kenaikan peruntukan di Sabah dan Sarawak bukti kesungguhan kerajaan jamin kesejahteraan.
KUALA LUMPUR:
Pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak yang meningkat sekali ganda kepada RM600 juta seiring keperluan merapatkan jurang pembangunan di Malaysia Timur, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Menurutnya, di bawah kerajaan perpaduan kadar pemberian khas untuk Sarawak yang tidak pernah dikaji sejak 1969 telah dinaikkan yang membuktikan kesungguhan kerajaan menjamin kesejahteraan.

“Tahun ini (2024) kita telah menaikkan kadar kepada RM300 juta ketimbang RM16 juta (Sarawak) dan RM125.6 juta (Sabah).

“Mulai 2025, kerajaan juga bercadang menaikkan kadar pemberian khas Sarawak dan Sabah sekali ganda lagi kepada RM600 juta,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Beliau yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata fokus kerajaan dalam pembangunan sektor tenaga dan air dengan jumlah peruntukan RM4.95 bilion juga selaras situasi semasa perubahan iklim kini.

“Perubahan iklim semakin ketara hingga mengakibatkan cuaca ekstrem dan mendorong kepada kejadian banjir.

“Petra terus komited melaksanakan projek tebatan banjir seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata dianggarkan 8.1 juta penduduk luar bandar akan mendapat manfaat menerusi peruntukan RM11.96 bilion kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Zahid berkata peruntukan itu meningkat sebanyak RM405.27 juta atau 3.52% berbanding belanjawan tahun ini.

“Peruntukan ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar yang akan memberi manfaat kepada 8.1 juta penduduk desa.

“Ini menjamin kesinambungan projek sedia dan meningkatkan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur serta ekonomi, modal insan dan sahsiah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.