RM1 bilion ikhtiar tangani kos sara hidup

RM1 bilion ikhtiar tangani kos sara hidup

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata RM300 juta disalurkan untuk Program Payung Rahmah yang meningkat daripada RM200 juta.

Program Jualan Rahmah akan diadakan di setiap DUN dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan memperuntuk RM1 bilion bagi memperhebat usaha menangani kos sara hidup rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk Program Payung Rahmah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata daripada jumlah itu, RM300 juta akan disalurkan khusus untuk Program Payung Rahmah, meningkat daripada RM200 juta sebelum ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan juga akan memperhebatkan pelaksanaan Jualan Rahmah di setiap DUN setiap bulan dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan kepada rakyat.

“Sejumlah RM1 bilion ringgit disediakan untuk menganjurkan ikhtiar menangani kos sara hidup dengan lebih meluas,” kata Anwar yang juga menteri kewangan dalam Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Anwar juga mengumumkan sebanyak RM700 juta lagi akan dikhususkan untuk memperbanyak saluran program kos sara hidup lain bagi mengawal harga barang.

“Ia termasuk melalui usaha sama dengan pengusaha pasar raya, pasar borong, kedai runcit, pasar tani dan koperasi,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata RM250 juta diperuntuk bagi mengedarkan barangan keperluan asas di kawasan pedalaman dan desa antaranya di Magandai, Kota Marudu dan Nanga Pelawan, Bintulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.