
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pendakwaan terhadap individu terbabit dijangka bulan depan, selepas kertas siasatan disiapkan.
“Kita membuka kertas siasatan untuk setiap individu yang ditahan dengan setiap daripadanya mempunyai saksi tersendiri serta seorang pegawai penyiasat melengkapkan siasatan,” katanya pada Majlis Menandatangani Laporan Penambaikan Tatakelola antara SPRM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Menara Perkeso.
Setakat ini tiada tangkapan baharu, tetapi beliau berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Perkeso untuk mengesan jika ada modus operandi atau aktiviti sama dengan kartel terbabit.
Azam berkata, pihaknya pernah melaksanakan tujuh operasi utama bersama Perkeso di enam negeri dan mengesan sindiket melakukan kesalahan sama.
“Kami mendapati sindiket ini tidak serik melakukan kesalahan dan mungkin juga mengubah modus operandi lain, oleh itu pengesanan aktiviti ini boleh diambil melalui sistem Perkeso yang boleh ‘trigger’ apabila ada kes diterima.”
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata jalinan kerjasama dengan SPRM terus diperkukuh susulan penahanan 37 individu disyaki terbabit penipuan tuntutan Perkeso.
Katanya, penambahbaikan dari sudut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dalam agensi terbabit sentiasa dilaksanakan supaya tidak disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pihak menyalah guna dan mengambil peluang terhadap sistem sedia ada untuk membuat tuntutan palsu.
“Kami akan pastikan tuntutan palsu yang dibuat akan melalui proses penyiasatan, termasuk membabitkan pihak SPRM yang tidak hanya tertumpu di Pulau Pinang, tetapi juga beberapa negeri lain.”
Menurutnya, tujuh rombakan dan penambahbaikan dilaksanakan pihaknya sejak 2002 berkaitan pengurusan hilang upaya, termasuk fungsi Jemaah Doktor (JD), Jemaah Doktor Rayuan (JDR) dan Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS).
Terdahulu, SPRM menahan 37 individu menerusi Op Tunjang terdiri 19 pemohon, sembilan ejen, tiga “runner” serta enam doktor perubatan dipercayai terbabit sindiket tuntutan palsu Perkeso.