Cukai perkhidmatan diperluas rangkum perkhidmatan komersial

Cukai perkhidmatan diperluas rangkum perkhidmatan komersial

Antara perkhidmatan komersial terlibat ialah perkhidmatan kewangan berasaskan fi, kata PM.

Kerajaan akan mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan serta industri berkaitan sebelum memuktamadkan kadar cukai SST yang diperluas. (Gambar Envanto Elements)
PETALING JAYA:
Cukai perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial, seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, kerajaan akan mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan serta industri berkaitan sebelum memuktamadkan kadar cukai yang akan dikenakan.

Beliau memberikan komitmen bahawa peluasan cukai ini tidak akan membebankan rakyat, dan barangan makanan asas akan terus dikecualikan cukai jualan.

“Peluasan skop SST secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025,” kata Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

“Sebahagian hasil akan dimanfaat untuk menambah baik bantuan tunai kepada rakyat terbanyak selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.”

Cukai dividen diperkenal

Dalam pada itu, kerajaan turut bercadang meluaskan asas cukai secara progresif dengan memperkenalkan cukai dividen.

Cukai pada kada 2.0% itu akan dikenakan ke atas pendapatan dividen lebih RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025.

“Ikhtiar ini dilaksanakan supaya cukai pendapatan yang dikutip tidak hanya bergantung kepada sumbangan penerima gaji, tetapi turut merangkumi sumbangan pemilik syarikat serta individu dengan milikan harta saham jutaan ringgit.

“Pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan kerajaan seperti KWSP, amanah saham bawah PNB dan pendapatan dividen dari luar negara,” kata Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.