
RUU itu diluluskan pada bacaan kali kedua dan ketiga selepas mendapat sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen susulan undian belah bahagian dilaksanakan, seperti yang diperuntukkan bagi pindaan Perlembagaan.
“… Yang bersetuju 206 undi, tidak hadir 14 dan satu tidak bersetuju. Satu tidak hadir kerana dalam tempoh penggantungan. Jumlah undian adalah 221.
“Dengan itu, RUU ini diluluskan,” kata Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang mempengerusikan majlis ketika undian dibuat untuk bacaan kali kedua.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail membentangkan RUU itu sebelum ia dibahaskan oleh 70 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Pindaan itu antara lainnya memperuntukkan hak yang sama bagi kanak-kanak yang lahir di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding terdahulu hanya sekiranya bapanya seorang warganegara.
Ketika penggulungan, Saifuddin berkata, setelah melalui proses yang agak panjang dan berliku, beliau percaya semua Ahli Parlimen bersama-sama menyokong RUU itu diluluskan.
Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein yang sebelum ini menteri dalam negeri kerana memulakan usaha pengumpulan data.
“(Usaha ini) membolehkan KDN kemudiannya mengatur strategi untuk menguruskannya secara sistematik. Sebelum itu, tak ada satu data yang terkumpul dengan mudah,” katanya.