Pangkalan tentera laut baharu di Sarawak di sebalik ketegangan LCS

Pangkalan tentera laut baharu di Sarawak di sebalik ketegangan LCS

Kementah juga berhasrat membina pangkalan tentera udara di sekitar Lapangan Terbang Bintulu.

Pangkalan tentera laut baharu selain perancangan pembinaan pangkalan tentera udara akan menyediakan perlindungan lebih mantap bagi mengelakkan pencerobohan tentera laut China di zon ekonomi eksklusif Malaysia di luar pantai Sarawak. (Gambar x)
PETALING JAYA:
Kerajaan persekutuan mengukuhkan pertahanan bagi Malaysia Timur dengan membina pangkalan tentera laut baharu di Bintulu, Sarawak, di sebalik ketegangan memuncak dengan China di Laut China Selatan.

Dijadualkan siap menjelang 2030, pangkalan itu akan menguatkan perlindungan Sarawak dan Sabah dalam menghadapi pencerobohan tentera laut China di zon ekonomi eksklusif (ZEE) Malaysia di luar pantai Sarawak, yang berlaku berulang kali.

Negara lain di rantau ini mengalami pengalaman sama. Pada Ogos, pengawal pantai Filipina mengadu bahawa kapalnya, BRP Teresa Magbanua, dirempuh kapal China tanpa provokasi, sebanyak tiga kali.

Pada 29 Sept, sebuah kapal China dilaporkan memasuki perairan Vietnam dan menyerang bot nelayan tempatan, menyebabkan 10 orang cedera.

Malaysia juga diceroboh pada awal bulan itu apabila tiga kapal tentera laut China dilaporkan memasuki ZEE negara berdekatan perairan Sarawak, dan didapati berlegar berhampiran pelantar minyak.

Menurut Asia Maritime Transparency Initiative, sekurang-kurangnya sebuah kapal pengawal pantai China memasuki dan beroperasi di perairan Malaysia setiap hari antara 1 Jan dan 27 Sept tahun ini.

Kebanyakan kapal ini dilaporkan berlegar di perairan sekitar gugusan Beting Luconia, terletak kira-kira 100km dari pantai Sarawak dan terdapat banyak projek penerokaan minyak dan gas (O&G) negara.

Pada Ogos tahun ini, satu media Filipina membocorkan nota diplomatik dikatakan oleh Beijing, membantah aktiviti Malaysia di kawasan itu yang dituntut China menurut peta ‘Sembilan Garis Putus’ yang mengundang kontroversi.

Menerusi peta dipertikaikan itu, China menuntut sebahagian ZEE Malaysia berdekatan perairan Sarawak dan Sabah, termasuk Luconia. Kuasa besar itu juga menuntut kawasan dalam perairan Vietnam, Brunei, Indonesia, dan Filipina.

Pangkalan di Bintulu akan menjadi penempatan tentera laut keempat di Malaysia Timur selepas Labuan, Teluk Sepanggar, dan Sandakan.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan pada November mengumumkan hasrat membina pangkalan tentera udara di sekitar lapangan terbang Bintulu.

Selepas memperoleh kelulusan daripada kerajaan persekutuan untuk membangunkan pangkalan itu pada Jun 2023, difahamkan kementerian di peringkat akhir untuk membeli tanah di mana penempatan tentera udara itu akan dibina.

Kelemahan di Malaysia Timur

Terletak secara strategik berhampiran Luconia dan, khususnya, medan gas Kasawari, yang dianggarkan mengandungi kira-kira 90.61 bilion meter padu gas asli, pangkalan baharu di Bintulu akan membolehkan tentera laut bertindak balas dengan pantas terhadap pencerobohan di kawasan itu, kata penganalisis kepada South China Morning Post, awal bulan ini.

Ia juga akan menyahut seruan Sarawak supaya Putrajaya meningkatkan kehadiran tentera di Bintulu, memandangkan kepentingan bandar itu yang semakin meningkat sebagai hab sumber asli dan pusat perindustrian.

Terletak kira-kira 610km di timur laut Kuching, Bintulu menempatkan kompleks gas asli cecair (LNG) Petronas, yang memproses LNG dilombong di Sarawak.

Lembangan Sarawak memiliki kira-kira 61% daripada anggaran rizab minyak Malaysia, dipercayai sekitar 4.2 bilion tong minyak, manakala Semenanjung menyumbang 20%, dan Sabah, 19%.

Pada masa ini, kira-kira 90% daripada kargo LNG Petronas dikatakan berasal dari Sarawak, atau melalui wilayah itu.

Melindungi lembangan ini penting bagi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia. Sehingga 2021, Petronas menyumbang sekurang-kurangnya RM1.2 trilion kepada aktiviti O&G di lembangan ini.

Selama beberapa dekad Putrajaya menggunakan hasil minyak untuk menyumbang kepada belanjawan negara — termasuk menyediakan dana pembangunan untuk Sarawak dan Sabah.

Kerajaan juga menanggung semua keperluan pertahanan, iaitu perbelanjaan kritikal yang memastikan keselamatan negara dan pertumbuhan ekonomi.

Sementara itu, kerajaan persekutuan memberi tumpuan kepada menyelesaikan semua potensi ketegangan dengan China secara diplomatik.

Dengan Malaysia mengambil alih kerusi pengerusi Asean pada 2025, kerajaan berharap dapat memuktamadkan rundingan antara kumpulan serantau itu dan China mengenai tatakelakuan di Laut China Selatan, rundingan yang berjalan sejak 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.