Lulus tiket kapal terbang ahli keluarga, bekas pengarah kolej Mara didenda RM18,000

Lulus tiket kapal terbang ahli keluarga, bekas pengarah kolej Mara didenda RM18,000

Saifulkahar Shariff mengaku salah kerana lulus pembelian tiket kapal terbang untuk isteri dan anak lelaki dari Tawau ke KL.

Tertuduh Saifulkahar Shariff, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau kerana menyalahgunakan kedudukan. (Gambar Wikimedia Commons)
PETALING JAYA:
Bekas pengarah Kolej Poly-Tech Mara Semporna didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau selepas mengaku salah menyalahgunakan kedudukan bagi pembelian tiket kapal terbang untuk isteri dan anak, tujuh tahun lalu.

Hukuman diputuskan Hakim Jason Juga selepas menerima pengakuan bersalah, Saifulkahar Shariff, 56, terhadap 12 pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mengikut semua pertuduhan alternatif, bapa kepada enam orang anak itu didakwa menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan 12 borang permohonan perolehan bagi pembelian tiket kapal terbang untuk isteri dan anak lelakinya dari Tawau ke Kuala Lumpur, dengan nilai keseluruhan RM6,797.50.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat KPTM Cawangan Semporna, antara November 2017 sehingga Ogos 2018, lapor Berita Harian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Nurul Ain Sahidah Pitting dan Siti Suherah Usman.

Pada 24 Feb 2022, tertuduh berdepan 12 pertuduhan utama mengikut Seksyen 23(1) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Siti Nurul Ain Sahidah dalam rayuan mitigasinya memohon denda minimum mengambil kira pengakuan tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Katanya, tertuduh satu-satunya pencari nafkah dan penanggung utama keluarganya dengan empat anak masih bersekolah dan sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.