Kes pornografi budak melambung hampir 140%, kata DOSM

Kes pornografi budak melambung hampir 140%, kata DOSM

Kesalahan pengantunan kanak-kanak dan amang seksual bukan fizikal masing-masing meningkat 100% dan 97% tahun lalu, berbanding 2022.

Selain kesalahan seksual kanak-kanak, jenayah kekerasan, komersial, dan dalam talian meningkat antara 3.2% hingga 35.5% tahun lalu.
PETALING JAYA:
Kesalahan pornografi kanak-kanak melambung hampir 140%, selain kes jenayah seksual melibatkan golongan itu meningkat 1,567 kes tahun lalu, berbanding 1,239 kes pada 2022.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin, berkata kes jenayah seksual kanak-kanak meningkat 26.5%.

“Kesalahan pornografi kanak-kanak merekodkan peningkatan tertinggi iaitu 139.3%, diikuti oleh kesalahan pengantunan kanak-kanak (100%), dan amang seksual secara bukan fizikal (97%),” katanya dalam kenyataan memetik Bernama.

Beliau berkata demikian dalam Statistik Jenayah Malaysia 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jenayah kekerasan

Katanya, bagi jenayah indeks merangkumi jenayah kekerasan dan harta benda pula ia meningkat 3.2% kepada 52,444 kes, berbanding 50,813 kes pada 2022 dengan nisbah jenayah bagi setiap 100,000 penduduk meningkat kepada 149, berbanding 146.

“Lima negeri merekodkan nisbah jenayah indeks bagi setiap 100,000 penduduk melepasi peringkat nasional (149) iaitu Kuala Lumpur dengan 221, Selangor (196), Kedah (193), Pulau Pinang (193), dan Negeri Sembilan (159), manakala Sabah merekodkan nisbah jenayah indeks terendah iaitu 95, diikuti Kelantan (96) dan Terengganu (100),” katanya.

Jenayah komersial

Menurut Uzir, jenayah komersial merekodkan peningkatan sebanyak 32.1% pada 2023 iaitu 40,350 kes, berbanding 30,536 kes pada 2022.

“Kesalahan tipu adalah kes tertinggi direkodkan iaitu 36,936 kes, diikuti oleh pecah amanah jenayah (1,217 kes), dan kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (994 kes),” katanya.

Jenayah dalam talian

Jumlah kes jenayah dalam talian dilaporkan kepada polis meningkat 35.5% kepada 34,532 kes dengan jenayah e-Dagang menyumbang kes tertinggi iaitu 33.2%.

Uzir berkata, terdapat enam kategori di bawah jenayah dalam talian iaitu jenayah telekomunikasi, e-Kewangan, Love Scam, e-Dagang, pinjaman dan pelaburan tidak wujud.

“Jenayah e-Dagang merupakan penyumbang tertinggi jenayah dalam talian pada 2023 iaitu sebanyak 33.2%. Ini diikuti oleh jenayah telekomunikasi (30%), pelaburan tidak wujud (15.6%), pinjaman tidak wujud (12.3%), e-Kewangan (6.1%), dan Love Scam (2.7%),” katanya.

Beliau berkata, jenayah Love Scam melibatkan paling banyak mangsa wanita iaitu 78.2% dan mangsa berusia 41 hingga 50 tahun merekodkan peratusan tertinggi mengikut kumpulan umur iaitu 24.3%.

“Jenayah Love Scam turut berlaku kepada warga emas berumur 61 tahun dan ke atas iaitu sebanyak 15.8%,” katanya.

Kertas siasatan SPRM meningkat

Bagi kes rasuah pula, Uzir berkata, bilangan kertas siasatan dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatatkan peningkatan 25.1% pada 2023, kepada 1,026 kes berbanding 820 kes sebelumnya.

“Bilangan kertas siasatan bagi semua jenis kesalahan meningkat tahun lepas kecuali kesalahan memberi rasuah berkurangan 25.3% kepada 59 kes, berbanding 79 kes pada 2022.

“Jumlah tangkapan dibuat SPRM tahun lepas turut meningkat sebanyak 25.1% kepada 1,137 tangkapan, berbanding 909 tangkapan sebelumnya, dan tangkapan bagi semua jenis kesalahan juga meningkat kecuali kesalahan memberi rasuah yang berkurangan 6.5% kepada 86 kes berbanding 92 kes pada 2022,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.