Sebabkan kematian 3 penuntut UiTM Dungun, wanita didakwa bunuh

Sebabkan kematian 3 penuntut UiTM Dungun, wanita didakwa bunuh

Tertuduh, Norizan Ismail ,49, didakwa melakukan kesalahan itu Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun, 7.35 malam pada 9 Okt lalu.

Tertuduh, Norizan Ismail,49, didakwa di Mahkamah Majistret Dungun atas pertuduhan membunuh selepas menyebabkan kematian tiga penuntut UiTM Dungun, 9 Okt lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu wanita yang merempuh dan menyebabkan kematian tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, 9 Oktober lalu didakwa di Mahkamah Majistret Dungun hari ini atas pertuduhan membunuh.

Tertuduh, Norizan Ismail ,49, berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman, lapor Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20.

Ibu kepada tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan itu Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun, 7.35 malam pada 9 Okt lalu.

Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi empat puluh tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai Johor Bharu dan menetapkan 7 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Timbalan Pendakwa Raya Azizan Abdullah dan Nur Azhani Azman mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.

Tertuduh juga akan berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Media sebelum ini melaporkan, tiga penuntut UiTM Dungun maut manakala seorang lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke kampus.

Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan mereka, Mohd Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, cedera pada anggota badan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.