
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata serbuan dilakukan JSJN Kelantan ke atas sebuah rumah pada 9.05 malam Isnin minggu lalu, hasil risikan dan maklumat awam.
Beliau berkata, polis menemui seorang lelaki 32 tahun yang juga penghantar dadah di rumah terbabit serta 652.4kg atau 5.59 pil yaba dan 2.6kg heroin dianggarkan bernilai RM49 juta.
“Kita turut menyita sebuah Perodua Myvi dan motosikal dianggarkan bernilai RM61,000,” katanya menurut Harian Metro.
Menurutnya, bekalan dadah yang diambil dari negara jiran akan diletakkan di rumah transit, sebelum penghantar menghantarnya dengan upah RM100 bagi satu pek dadah mengandungi 2,000 pil yaba.
“Kita percaya bekalan dadah terbabit baru disimpan di rumah berkenaan dalam tempoh seminggu sebelum diserbu pihak berkuasa. Kita juga dapati rumah terbabit disewa sejak 2022, namun aktiviti pengedaran dadah baru dikesan Jun lalu.”
Beliau berkata, bekalan dadah itu dipercayai untuk pasaran pantai timur yang boleh digunakan 6.78 juta penagih.
Menurutnya, ini rampasan pil kuda terbesar setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek direman seminggu. Suspek juga positif Benzo, selain mempunyai dua rekod jenayah lampau. Siasatan lanjut bagi mengesan dalang sindiket masih dijalankan dan kita sudah mengenal pasti beberapa individu yang juga ahli sindiket itu.”