
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata penafian mengatakan ahli GISBH tidak mengamalkan ajaran sesat itu hanya kenyataan pihak luar.
“Kita hanya bercakap berasaskan kepada butiran dan dapatan siasatan.
“Saya ingin mengesahkan siasatan polis setakat ini mengesahkan ada pengakuan bahawa amalan terhadap ajaran Aurad Muhammadiyah itu masih lagi dilakukan oleh kalangan yang kita tangkap dan soal siasat masih berlaku,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian semasa sesi penerangan menteri bawah Peraturan Mesyuarat 14 (1) (i) mengenai perkembangan dan tindakan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan isu GISBH.
Semalam, anak perempuan pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad menafikan dakwaan GISBH mengamalkan amalan bertentangan ajaran Islam.
Khaulah Asaari berkata, ahli GISBH sudah bertaubat dan tidak lagi mengamalkan ajaran Al-Arqam, pertubuhan agama difatwakan sesat dan diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.
Sementara itu, Saifuddin menegaskan tiada motif politik oleh kerajaan dalam mengendalikan kes GISBH.
Katanya, isu GISBH adalah jenayah yang dilakukan terhadap kanak-kanak.
Bulan lalu, polis melakukan serbuan di sekurang-kurangnya 20 rumah amal bawah GISBH dan menyelamatkan lebih 600 kanak-kanak dipercayai menjadi mangsa eksploitasi.
Polis berkata, ada dalam kalangan mereka menjadi mangsa salah laku seksual.
Lebih 400 individu dikaitkan dengan kumpulan itu ditangkap termasuk 58 ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Sebelum ini, GISBH berkata pihaknya sudah membuang imej sebagai sayap perniagaan Al-Arqam dan kini meletakkan kedudukan mereka sebagai syarikat multinasional.
Bagaimanapun, risalah dan buku mempromosikan ajaran Asaari ditemui ketika serbuan terhadap premis GISBH.