Polis tembak mati lelaki dipercayai penjenayah dikehendaki

Polis tembak mati lelaki dipercayai penjenayah dikehendaki

Suspek berusia 43 tahun berasal dari Klang dipercayai dalang kegiatan samun pemborong emas.

garisan polis
Suspek meninggal dunia di tempat kejadian setelah terkena tembakan polis dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Slim Lama, Tanjung Malim, awal pagi tadi.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dipercayai penjenayah dikehendaki ditembak mati oleh polis dalam kejadian berbalas tembakan di Tanjung Malim awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris berkata, dalam kejadian 3.10 pagi itu, sepasukan polis yang menjalankan tugas risikan dan rondaan di sekitar kawasan Jalan Slim Lama mengesan seorang lelaki memandu laju sebuah Nissan Almera.

Bagaimanapun, apabila diarahkan berhenti, suspek memecut kenderaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis.

“Bertindak untuk mempertahankan diri, polis membalas beberapa tembakan dan telah mengenai suspek.

“Suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan,” kata Azizi pada siding media di IPK Perak, Ipoh, lapor Bernama.

Beliau berkata, suspek berusia 43 tahun dan berasal dari Klang, Selangor itu didapati mempunyai 11 rekod jenayah lampau.

Dia dipercayai salah seorang dalang sebuah kumpulan terbabit dalam kegiatan samun pemborong emas, tambahnya.

Menurut Azizi, kumpulan itu terlibat dalam sekurang-kurangnya 25 kes samun emas di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Perak sejak 2018, dengan nilai kerugian dianggarkan RM34.2 juta.

“Kejadian samun terbaru yang dilakukan kumpulan itu berlaku di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 27 Ogos lepas, melibatkan kerugian emas seberat 4.5kg dianggarkan bernilai RM1.485 juta,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati kereta yang dipandu suspek ialah kereta yang dicuri pada 2017 dan menggunakan nombor plat palsu ketika kejadian.

“Pihak polis juga sedang mengesan saki baki kumpulan itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.