
“Saya menjadi kurang popular selepas kenyataan (fitnah) Zahid. Beliau hendak menggambarkan saya bukan Melayu dan Islam,” katanya ketika disoal balas peguam Zahid, Shahrul Fazli Kamaruzman.
Mahathir, 99, memfailkan saman terhadap Zahid selepas timbalan perdana menteri mengeluarkan dakwaan merujuk nama ‘Kutty’, di mana menurut Mahathir bertujuan menghinanya.
Dalam penyataan tuntutan, beliau mendakwa Zahid membuat kenyataan penghinaan itu dalam Mesyuarat Umno Bahagian di Kelana Jaya, Selangor, pada 30 Julai 2017.
Dakwanya, kenyataan itu seolah-olah dirinya bukan dilahirkan sebagai Melayu atau Muslim, dan nama sebenarnya adalah ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.
Ia juga merujuk nama ‘Mahathir Mohamad’ digunakan bagi kepentingan diri dan politik.
Dalam pembelaan, Zahid berkata, nama dirujuknya berdasarkan salinan maklumat individu melibatkan kad pengenalan lama.
Mahathir berkata, orang ramai mempercayai Zahid kerana jawatannya sebagai timbalan perdana menteri pada 2017.
“Saya tidak menjangka kenyataannya akan mempengaruhi orang ramai. Saya sedar perkara itu selepas PRU 2018 (PRU14),” katanya.
Mahathir, bekas perdana menteri bagi kali kedua antara 2018-2020, berkata Bersatu – parti diterajuinya hanya menang 13 daripada 52 Parlimen ditandingi pada PRU14. Kebanyakan kerusi dimenangi adalah menentang calon Umno.
Pakatan Harapan menang PRU14 dan Mahathir dilantik sebagai perdana menteri, walaupun penguasaan kerusi Bersatu lebih rendah, berbanding PKR dan DAP.
Ketika disoal selanjutnya, Mahathir berkata, beliau tidak memfailkan saman terhadap Zahid sejurus PRU14 memandangkan mengutamakan perkara lebih penting didepani kerajaan PH ketika itu.
“Apabila saya tidak lagi menjadi perdana menteri, saya memutuskan mahu saman kerana kenyataan itu menjejaskan kredibiliti saya,” katanya sambil menambah beliau juga mempertimbang pandangan pihak lain sebelum saman difailkan.
Zahid juga memfailkan saman berasingan ke atas Mahathir berkait kenyataan mendakwa Zahid meminta pertolongannya bagi menggugurkan tuduhan rasuah.
Pada sidang media bertarikh 23 Feb 2022, Mahathir mendakwa Zahid dan beberapa lagi bertemu di kediamannya selepas PRU14.
Perbicaraan bersambung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong.