Bekas warden asrama ada kaitan GISBH didakwa amang seksual budak

Bekas warden asrama ada kaitan GISBH didakwa amang seksual budak

Tertuduh yang ketika itu selaku warden asrama didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh bahagian kemaluan mangsa berusia 13 tahun.

Mahkamah Sesyen Butterworth membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ada kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki dua tahun lalu.

Harian Metro melaporkan Muhammad Miqdam Muhammad Amir, 24, mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Tertuduh yang ketika itu selaku warden asrama didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh bahagian kemaluan mangsa berusia 13 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah, Jalan Bagan Buaya, Nibong Tebal kira-kira 12 tengah malam 11 Julai 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana mangsa bawah umur, tetapi tertuduh yang dibantu peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Naqieya Zulkernain memohon mahkamah memberikan jaminan kerana dia kini ialah penghantar barang tiada pendapatan tetap dan mustahil melarikan diri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa.

Sebutan semula kes pada 14 Nov ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pada 21 Sept lalu, media melaporkan empat premis milik GISBH di Pulau Pinang diserbu dan enam buku atau kitab disyaki berkaitan gerakan Al-Arqam dirampas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

Antara premis diserbu ialah Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah di Nibong Tebal, Pusat Jagaan Kanak-kanak Rumah Permata Kasih Taman Seri Mengkuang di Kubang Semang, Kedai Kek dan Roti Ikhwan Bandar Perda dan Ikhwan BP Mart di Bukit Mertajam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.