Anak perempuan Asaari nafi GISBH promosi ajaran sesat

Anak perempuan Asaari nafi GISBH promosi ajaran sesat

Khaulah Asaari berkata CEO GISBH Nasiruddin Ali sering mengingatkan kumpulan itu tidak mengulangi ajaran al-Arqam.

Anak perempuan pengasas al-Arqam, Khaulah Asaari, berkata pihak berkuasa agama memantau pengoperasian sekolah dikendalikan GISBH demi memastikan silabus tidak bercanggah ajaran Islam.
SHAH ALAM:
Anak perempuan pengasas al-Arqam, Asaari Muhammad menafikan dakwaan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mengamalkan amalan bertentangan ajaran Islam.

Khaulah Asaari berkata, ahli GISBH sudah bertaubat dan tidak lagi mengamalkan ajaran al-Arqam, pertubuhan agama difatwakan sesat dan diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.

Bercakap pada sidang media, dia berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Nasiruddin Ali, juga sering mengingatkan kumpulan itu mengikuti ajaran Islam sebenar dan tidak mengulangi amalan al-Arqam.

“Memang GISBH konsisten untuk tidak lagi mengamalkan apa-apa ajaran yang dikatakan sesat,” kata Khaulah yang juga pengarah salah satu anak syarikat GISBH.

“Kita sentiasa mengikuti kursus pihak berkuasa termasuk jabatan agama dan kita mengikuti proses istitabah (bertaubat). Kita juga berkomitmen tidak mengamalkan apa-apa yang dilakukan sebelum ini iaitu pada zaman al-Arqam.”

Katanya, pihak berkuasa agama juga memantau pengoperasian sekolah dikendalikan GISBH bagi memastikan silabis tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Mengulas video muzik yang didakwa mempromosikan Asaari dalam media sosial, Khaulah berkata, ia merupakan klip pada 2011 yang muncul kembali di internet.

“Video berkenaan dibuat pada 2011 – sebelum kami mengikuti kursus 500 jam (anjuran pihak berkuasa agama),” katanya.

Bulan lalu, polis melakukan siri serbuan sekurang-kurangnya 20 rumah amal di bawah GISBH dan menyelamatkan lebih 600 kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi. Polis berkata, ada dalam kalangan mereka menjadi mangsa salah laku seksual.

Lebih 400 individu dikaitkan dengan kumpulan itu ditangkap, termasuk 58 individu yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Sebelum ini, GISBH berkata pihaknya telah membuang imej sebagai sayap perniagaan al-Arqam dan kini meletakkan kedudukan mereka sebagai syarikat multinasional.

Bagaimanapun, risalah dan buku mempromosikan ajaran Asaari ditemui ketika serbuan terhadap premis GISBH.

Pada 1986, pihak berkuasa agama menyuarakan kebimbangan berhubung buku tulisan Asaari, yang mendakwa pertemuan secara nyata dengan Nabi Muhammad, membawa kepada pengharaman ajaran dibawa.

Asaari membantah pengharaman berkenaan, dan meninggalkan Malaysia selain mencabar pihak berkuasa termasuk menerbitkan buku mempertahankan gerakannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.