
Ia susulan kenyataan polis semalam mengesahkan empat pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah yang dilaporkan hilang dan ditemui semula, dipercayai menjadi mangsa dera dan seksual selepas kesan kecederaan ditemui pada badan mereka.
Pengarah Jais, Shahzihan Ahmad, berkata jika benar kes itu berlaku, ia sangat memalukan, melampau dan tidak bertamadun, malah terkeluar daripada konsep mendidik yang ditetapkan Islam.
“Guru sebagai wahana menyampaikan ilmu perlu memanfaatkan ruang pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar menjadi insan ikhlas dalam menerima ilmu, bersangka baik dan menghormati guru, bukannya interaksi yang melahirkan ketakutan dan mengambil kesempatan daripada pelajar,” katanya dalam kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan empat pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah berusia 13 hingga 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu, ditemui orang awam sedang berjalan di sekitar kawasan Kampung Bangi pada 11.58 malam Khamis lalu.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, atas persetujuan keluarga, empat remaja itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan yang menemui kesan kecederaan dipercayai berlaku ketika mangsa berada di pusat tahfiz itu.
Shahzihan mengingatkan ibu bapa dan penjaga sentiasa memantau perkembangan anak setiap masa untuk mengesan tingkah laku aneh di peringkat awal.
“Mengikut Seksyen 8 enakmen (sama), pihak sekolah swasta tertakluk untuk didakwa dan mendakwa. Selain kes jenayah, ibu bapa dan penjaga boleh mendakwa dan menuntut hak anak-anak, jika telah diperlakukan selayaknya untuk dibawa ke muka pengadilan.”