Budak hilang ambil makanan ditemukan selamat, 6 individu diberkas

Budak hilang ambil makanan ditemukan selamat, 6 individu diberkas

Polis Klang Selatan berkata dua wanita antara ditahan atas dakwaan menculik susulan kehilangan mangsa sejak 8 Okt.

MADRAFATAHA BINTI INDAL BANGSAWAN
Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong, berkata seorang daripada suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilapor hilang selepas turun mengambil makanan pada 8 Okt ditemukan selamat dengan enam individu ditahan atas dakwaan menculik.

Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong, berkata mangsa ditemukan pada 2.30 petang semalam yang membawa kepada penangkapan semua individu itu termasuk dua wanita, pada 5 petang, hari sama.

Beliau berkata, hasil siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berdekatan, mendapati kanak-kanak itu berjalan sebelum menaiki sebuah Perodua Myvi dipercayai diculik.

Katanya, polis mengklasifikasikan semula kes mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik mana-mana orang atau dari penjagaan yang sah di sisi undang-undang.

“Enam individu warga tempatan termasuk dua wanita ditahan di Segambut Dalam, Setia Alam, dan Pandamaran oleh anggota Cawangan D8, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan.

“Hasil semakan terhadap semua suspek berusia 13 hingga 23 tahun itu mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu mengenali seorang daripada suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, polis turut merampas Perodua Myvi yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Rabu lalu, dilaporkan kanak-kanak berkenaan hilang selepas disuruh ibunya mengambil makanan dalam kejadian di sebuah flat di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.